Maxis, MDEC bekerjasama melalui IdeaKita

Loh Keh Jiat , Mahadhir Aziz
Loh Keh Jiat , Mahadhir Aziz
A
A
A

MAXIS Berhad (Maxis) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama melalui program IdeaKita MDEC untuk memupuk inovasi dan penemuan teknologi dalam kalangan syarikat pemula.

Maxis dalam satu kenyataan berkata, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong dan Ketua Pengguna Maxis, Arjun Varma telah menyediakan kepakaran mereka sebagai mentor industri untuk membimbing peserta dalam Office Hours Mentoring Sessions di Kem Inovasi IdeaKita MDEC yang berlangsung selama 10 hari bermula 3 hingga 31 Oktober depan.

“Program IdeaKita adalah inisiatif Malaysia Digital dan membolehkan inovator dan usahawan untuk memulakan syarikat teknologi mereka sendiri dalam pelbagai industri, sambil menyediakan bimbingan, kesedaran harta intelek dan pembangunan produk berdaya maju minimum (MVP).

“Bootcamp tersebut dibahagikan kepada dua trek untuk mereka yang ingin membangunkan syarikat pemula tetapi belum mempunyai idea perniagaan. Ia juga melibatkan mereka yang sudah mempunyai idea perniagaan dan mencari pengesahan pelanggan dan pasaran, pembangunan MVP dan mempelajari cara menjual,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, melalui bootcamp, inovator dan usahawan mendapat akses kepada mentor industri dan kursus latihan untuk mengesahkan pernyataan masalah, idea, serta model perniagaan untuk dibawa ke pasaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, IdeaKita bertujuan meningkatkan dan mengubah keupayaan dan kapasiti ekosistem digital negara.

“Selaras dengan inisiatif Malaysia Digital, matlamat kami adalah untuk mewujudkan dan memupuk 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir tahun ini. Bagi mencapai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, MDEC akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan usahawan muda, sektor perniagaan, dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Pemasaran, Maxis, Loh Keh Jiat berkata, Maxis berbesar hati menjadi sebahagian daripada program IdeaKita MDEC sebagai mentor industri untuk membimbing usahawan teknologi dalam merealisasikan idea serta mengesahkan penyelesaian teknologi yang relevan dengan permintaan pasaran masa kini dan masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Kami fokus dalam pelaburan kami kepada negara melalui program sedemikian dan dalam memperkasakan syarikat pemula tempatan untuk membawa inovasi teknologi yang lebih besar ke pasaran,” katanya.

Maxis telah lama aktif dalam ruang inovasi, dengan membangunkan beberapa program dengan ekosistem syarikat pemula melalui kerjasama dengan MDEC.

Ini termasuk inisiatif seperti Maxis IoT Challenge, siri SPARK dan Market Access Day.

Sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi di bawah Geran Digitalisasi PKS MDEC, Maxis telah membantu lebih daripada 25,000 PKS menjalani digitalisasi melalui akses kepada pelbagai penyelesaian digital.