Penyokong Terengganu tagih lebih banyak kejutan

Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC) ketika hadir memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu dalam perlawanan sebelum ini. - Foto Ihsan TFFC
Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC) ketika hadir memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu dalam perlawanan sebelum ini. - Foto Ihsan TFFC
A
A
A

PENYOKONG pasukan Terengganu FC (TFC) menagih lebih banyak kejutan selepas pasukan itu memulakan langkah kanan membelasah Sri Pahang FC 5-1 pada aksi pertama pusingan 16 saingan TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Makmur malam Khamis.

Menyifatkan kemenangan menewaskan pasukan di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh bukan suatu yang mudah, keputusan perlawanan itu memberi gambaran bahawa skuad di bawah bimbingan Nafuzi Zain itu mempunyai peluang cerah untuk terus mara ke perlawanan akhir.

Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Mazuki Muhamad berkata, jaringan hatrik Kpah Sherman serta disokong dua lagi gol daripada Faisal Halim dan Nik Syarif meletakkan TFC berada pada kedudukan selesa dalam memburu misi bergelar juara.

"Alhamdulillah, Terengganu memulakan langkah kanan dalam siri perlawanan TM Piala Malaysia malam tadi dengan permulaan yang positif dan persembahan yang cukup bertenaga.

"Berdasarkan corak permainan pemain serta taktikal dan strategi yang dipamerkan pengendali pasukan menunjukkan pasukan Terengganu berada pada kedudukan terbaik untuk ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Menurut Mazuki, rata-rata penyokong tidak menjangka pasukan itu mampu menghadiahkan lima jaringan kerana selain bukan beraksi di laman sendiri pasukan lawan turut memiliki gabungan 'jentera' yang hebat.

"Kita jangka Terengganu mampu menang 2-0 dalam aksi perlawanan malam tadi. Namun, apa yang dipersembahkan adalah di luar dugaan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian penyokong pasukan Terengganu yang hadir di Stadium Darul Makmur malam Khamis. - Foto Ihsan TFFC
Sebahagian penyokong pasukan Terengganu yang hadir di Stadium Darul Makmur malam Khamis. - Foto Ihsan TFFC

"Mereka semua mempamerkan aksi yang hebat dan sebagai penyokong kita begitu bangga dengan pencapaian tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun kata Mazuki, TFC tidak boleh terus selesa dengan kedudukan sedia ada kerana pasukan itu perlu memantapkan lagi persembahan bagi mengharungi cabaran lebih besar menentang KL City FC.

"KL City FC diramal memberikan saingan sengit selepas pasukan itu menewaskan PDRM FC 3-0 pada aksi pertama perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi.

"Kita lihat pasukan Terengganu perlu membuat perancangan lebih rapi kerana bukan mudah untuk menundukkan KL City FC, namun dengan strategi dan taktikal skor yang ada, kita yakin TFC boleh menang. Apapun keputusan perlawanan, kita akan terus memberikan sokongan padu," katanya.

TFC meraih kemenangan bergaya dalam saingan TM Piala Malaysia 2022 setelah Kpah Sherman berjaya mendapatkan gol hatrik pada masa tambahan sekaligus menewaskan pasukan tuan rumah di Stadium Darul Makmur malam tadi.