Skuad hoki dalam dewan mula langkah kanan di Kemboja

Skuad hoki dalam dewan wanita negara menewaskan Singapura 8-0. - Foto Facebook MHC
Skuad hoki dalam dewan wanita negara menewaskan Singapura 8-0. - Foto Facebook MHC
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan wanita negara memulakan langkah kanan pada Sukan SEA Kemboja apabila mudah membenam Singapura 8-0, pada Isnin.

Aksi yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar itu menyaksikan pasukan wanita negara selesa 6-0 di hadapan pada separuh masa pertama sebelum menambah dua gol pada babak kedua untuk mengutip tiga mata pertama.

Ketua jurulatihnya, Mohd Badrul Hisham Osman menzahirkan rasa syukur dengan tiga mata berharga itu, namun menyifatkan beberapa kesilapan yang dilakukan pemain pada perlawanan pertama perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

“Pembukaan yang baik dan tiga mata yang diraih adalah sangat penting untuk pasukan. Pemain telah beraksi dengan baik dan mengikut setiap perancangan yang telah disusun sebelum perlawanan bermula.

“Saya berpuas hati dengan keputusan positif yang diraih hari ini (Isnin)," katanya.

Badrul memberitahu, jentera serangan berdepan cabaran untuk menokok jaringan pada babak kedua kerana perubahan corak permainan pasukan lawan.

“Kami kurang menjaringkan gol pada separuh masa kedua jika dibandingkan dengan separuh masa pertama. Ini kerana lawan lebih menerapkan corak permainan secara bertahan kerana mahu mengurangkan jumlah bolos.

“Bagaimanapun pemain tetap meneruskan permainan yang terbaik," katanya.

Mengulas pertemuan dengan Filipina pada Selasa, Badrul mahu para pemain mempertingkatkan lagi mutu permainan untuk memburu kemenangan kedua.

“Bagi aksi kedua bertemu Filipina, kami akan mengekalkan corak permainan yang telah diterapkan hari ini (Isnin) selain memperkemaskan lagi beberapa kesilapan kecil yang dikenalpasti.

“Saya juga berharap pemain tidak melepaskan setiap peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol kerana jumlah jaringan dalam setiap perlawanan amat penting,” katanya.

Pada aksi pembukaan itu, Nuraslinda Said muncul penjaring terbanyak buat pasukan negara apabila meledak empat gol - tiga pukulan sudut penalti pada minit kelapan, ke-11 dan 18 serta satu gol padang pada minit ke-19.

Fazilla Sylvester Silin turut menyumbang dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan 34 selain dua gol lagi masing-masing disumbangkan oleh gol padang Raja Norsharina Raja Shahbuddin seawal minit ketiga dan gol pukulan stroke oleh Iren Hussin minit ke-26.