Ipoh jadi liputan 5G terluas Wilayah Utara

Saarani (tengah) pada sidang akhbar pada Khamis.
Saarani (tengah) pada sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Ipoh menjadi antara bandar raya yang mempunyai liputan 5G terluas bagi kawasan Wilayah Utara dengan capaian kelajuan melebihi 1 Gigabait per saat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan itu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serta membantu melahirkan warga kota celik internet pelbagai benda (IoT) selaras dengan perkembangan teknologi digital.

Menurutnya, setakat ini, struktur 5G telah dipasang di 37 tapak sekitar Ipoh dan sehingga hujung tahun, dijangka sebanyak 106 tapak rangkaian 5G dibina sekitar bandar raya itu.

"Di pusat bandar bandaraya Ipoh ini kita telah mencapai purata kelajuan 5G iaitu 620 Megabait per saat. Kadang kala capaian rangakaiannya melebihi 1 Gigabait per saat.

"Menjadikan Ipoh antara bandar raya yang mempunyai rangkaian liputan talian 5G terluas di Malaysia ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan YTL Communications Sdn Bhd dalam projek liputan rangkaian 5G di bandar raya Ipoh di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

Saarani (tengah) menyaksikan Mou antara MBI dengan YTL Communications Sdn Bhd dan dua lagi syarikat, MTIB dan Perak SADC pada Khamis.
Saarani (tengah) menyaksikan Mou antara MBI dengan YTL Communications Sdn Bhd dan dua lagi syarikat, MTIB dan Perak SADC pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd, Lee Wing Kui.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, Mou itu antara usaha MBI dalam melaksanakan strategi melalui Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2030 bertujuan memenuhi agenda nasional dan global ke arah matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Malaysia sebagai negara pintar.

Bagi perancangan negeri pula katanya, Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan 476 tapak dibina sehingga 2024 dalam usaha memastikan Perak mempunyai liputan 80 peratus rangkaian 5G yang stabil.

"Perkara ini juga antara yang kita beri tumpuan dalam program pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Ipoh ini adalah permulaan dan kita akan memperkasakannya untuk ke keseluruhan negeri terutama kawasan-kawasan pertumbuhan industri baharu seperti di Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar," katanya.

Dalam majlis sama turut diadakan sesi Mou bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam projek pembangunan industri buluh dan bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi perjanjian usahasama bagi pembangunan di kawasan Gunung Masoorat.