Nurul Izzah akan berperang di Ampang?

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

GEORGETOWN - Kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh dikhabarkan tidak lagi diwarisi oleh legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Keputusan itu dibuat selepas penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dikatakan perlu 'berperang' di kawasan lebih mencabar dan merampas kembali kerusi PKR yang sebelum ini dibawa lari disebabkan Langkah Sheraton.

Antara kerusi yang disebut akan ditandingi Naib Presiden PKR itu ialah di Parlimen Ampang bagi berdepan dengan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah mengesahkan akan bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Zuraida memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru iaitu dengan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada PRU14 yang lalu.

Sekiranya khabar angin mengenai perpindahan Nurul Izzah dari Permatang Pauh ke Ampang benar berlaku maka bertambah lagi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh anak sulung kepada Presiden PKR itu.

Nurul Izzah sebelum ini diarahkan oleh parti mengetuai tiga negeri sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dalam misi memenangi PRU15 kali ini.

Dengan misi baharu yang diberi, Nurul Izzah nampaknya perlu melupakan seketika kawasan yang menjadi tempat lahirnya semangat reformasi dan legasi perjalanan politik keluarganya walaupun sebelum ini beliau pernah menyuarakan hasratnya untuk kekal bertanding di Permatang Pauh.

Namun dalam masa sama, beliau sebelum ini ketika ditemui media juga menyatakan kesediaan untuk diletakkan di tempat lain demi menurut perintah parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukanlah pemutus kata, hati ini memang teringin kekal bertanding di Permatang Pauh tetapi sebagai 'askar' dalam parti, kita boleh berharap tidak digugurkan daripada untuk dicalon dan kedua, diberikan kerusi sebagaimana kemahuan hati.

"Saya serahkan kepada pimpinan kerana akhirnya kita nak menawarkan diri untuk menjalankan tugas dan amanah kerana ia bukan sesuatu yang kita boleh pegang selama-lamanya," katanya dalam satu majlis di Bayan Lepas pada September lalu.

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Dia memperoleh 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memperoleh 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982.

Fadhlina
Fadhlina

Bagi meneruskan penguasaan PKR di Permatang Pauh, tanggungjawab itu dikatakan akan digalas oleh Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek yang bakal dicalonkan pada 5 November nanti.

Pengamal undang-undang berusia 45 tahun itu merupakan anak kepada mantan Presiden Abim, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Bagaimanapun segala teka-teki mengenai siapa yang akan diangkat menjadi calon untuk mempertahankan kubu kuat PKR di Permatang Pauh atau mengetuai peperangan di Ampang hanya akan diketahui malam nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!