Kerajaan Perak simpati kehilangan Acap

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melahirkan rasa simpati terhadap keluarga peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang masih belum ditemui sejak 23 Mac lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini beliau belum berkesempatan melawat tetapi isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi sudah bertemu dengan waris dan keluarga Mohammad Ashraf di Gopeng memberikan sokongan.

Menurutnya, usaha-usaha pencarian masih diteruskan oleh agensi penyelamat selain turut disertai oleh orang ramai.

"Setakat ini saya cuma dapat mengarahkan pihak-pihak yang berkenaan untuk meneruskan usaha mencari beliau dalam masa yang sama kita jangan lupa kekuasaan ALLAH.

"Kita juga menjalankan solat-solat hajat memohon pertolongan ALLAH membuka ruang dan mempermudahkan urusan mencari saudara Acap," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut meminta orang ramai yang bersimpati dengan keadaan ini bersama-sama membantu pihak berkenaan yang masih meneruskan pencarian.

Usaha pencarian Mohammad Ashraf kini masuk hari ke-18 setelah kehilangannya dilaporkan pada 23 Mac lalu.

Pada Sabtu ini, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak akan membantu membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut dalam skala kecil.

Artikel Berkaitan: