Usul 'separuh masak' PH gagal kerana gopoh

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kegagalan usul ‘separuh masak’ PH semalam berpunca daripada kegopohan dan usul pindaan perlembagaan itu sebenarnya boleh dirunding dan dibincangkan bersama agar menjadi sempurna dan diterima semua pihak.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, usul sebegitu bukan boleh dibuat setiap hari, dan apabila laluan sudah terbuka, sepatutnya rundingan dibuat melalui Jawatankuasa Terpilih.

“Ramai ahli Parlimen dari Sarawak yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah anak cucu dari pejuang-pejuang kemerdekaan yang terbilang dari Sarawak yang terlibat sama semasa Perjanjian Malaysia 1963 yang membentuk Malaysia.

“Dalam ucapan perbahasan setiap seorang dari mereka, sangat jelas memperjuangkan kepentingan hakiki dari MA63 demi negeri dan rakyat Sabah Sarawak agar tiada lagi kekaburan, bukan tergesa gesa hingga tak sampai seminggu draf usul sudah boleh berubah, tak sama dengan apa yang diserahkan kepada ahli-ahli dewan rakyat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan PH sendiri telah wujudkan Jawatankuasa Peringkat Kabinet yang mengkaji segala aspek MA63, namun Amzad mempersoalkan mengapa laporan itu tidak disiapkan dan dibentangkan kepada Dewan Rakyat.

Malah katanya, usul penting bagi rakyat Sabah dan Sarawak itu seharusnya dirundingi terlebih dahulu dengan membawanya ke DUN Sabah dan Sarawak.

“Lebih ramai perwakilan yang berada di sana yang suara mereka perlu juga didengari dan dibuat resolusi di peringkat DUN. Ia akan memberi lebih kekuatan kepada usul di Dewan Rakyat agar detik bersejarah ini dapat dimuktamadkan tanpa ada lagi sesiapa yang berani mempertikaikannya selepas ini,” katanya.

Menurut Amzad, jawapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa usul itu tidak perlu disembahkan untuk perkenan Majlis Raja-Raja kerana mendakwa ia tidak menyentuh hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu perlu diperhalusi, sama ada ia pendapat peribadinya atau pandangan teknikal perundangan yang datang dari Pejabat Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Perlu diingat dalam perbahasan beberapa ahli Parlimen ada menyebut sokongan kepada usul ini antara lain adalah agar jawatan Yang Di Pertuan Agong diberi giliran kepada Sabah dan Sarawak.
Artikel Berkaitan:


“Dengan pelbagai agenda PH yang sangat dipengaruhi DAP, kekhuatiran rakyat amat jelas risiko kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak keistimewaan Melayu dan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Katanya lagi, jika GPS sendiri nekad tidak mengundi usul pindaan perlembagaan semalam, ia bermakna mereka faham benar akibatnya kepada sokongan akar umbi di Sarawak jika tindakan itu tidak menyokong aspirasi Sarawak.

Pas jelasnya, menyokong perjuangan rakyat Sabah dan Sarawak untuk kesejahteraan keseluruhannya kerana akhirnya, pengukuhan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang sama-sama dikasihi.