Cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan dipersembah kepada MRR

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara kewarganegaraan akan dipersembahkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menyiapkan dokumen pembentangan meliputi kesemua cadangan pindaan daripada kerajaan dan pandangan rakyat sebelum dipersembahkan kepada MRR.

Katanya, lapan cadangan pindaan itu dikenal pasti berdasarkan dapatan analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet.

Ini termasuk Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan.

"Kerajaan mendengar dan mengambil maklum semua pandangan, cadangan dan maklum balas yang diterima dari rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) serta Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, lapan cadangan pindaan kepada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan bersama dengan Jadual Pertama dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan juga meliputi isu kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara daripada ibu yang berwarganegara Malaysia.

"Sebarang cadangan pindaan terhadap Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan MRR selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan," ujar beliau.

Azalina menjelaskan, cadangan pindaan kepada berkenaan turut memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Ia berkait dalam hal pindaan yang menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Negeri Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Borneo dengan orang yang lahir di negeri-negeri Melayu," tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka.

Katanya, pindaan itu memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.