'Saya sedih, kecewa dianggap penjenayah' - Shariffa Sabrina

Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil
Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengasas Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, beliau akan meneruskan perjuangan isu alam sekitar meskipun dianggap sebagai penjenayah dalam usaha mempertahankan khazanah alam di negara ini.

Beliau mengakui kecewa dan sedih atas apa yang terpaksa dilalui sehingga berdepan tekanan dan tindakan undang-undang dek kerana kelantangan menyuarakan isu-isu berbangkit tentang kerosakan alam sekitar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sangat lantang sebab saya tahu kita akan mengalami banyak kesusahan. Jadi bila saya lantang bercakap dan saya menyentuh pihak-pihak tertentu, mereka campak saya dalam lokap dan mereka saman saya dengan segala macam saman.

"Saya tak faham kenapa kerajaan perlu saman saya sebagai aktivis alam, saya bukan penjenayah. Saya buat yang terbaik untuk negara.

"Saya menerima banyak anugerah daripada badan antarabangsa atas usaha saya, tapi tidak di negara saya. Saya dianggap sebagai penjenayah.

"Saya seorang manusia biasa, kita mesti sedih dan kecewa. Sedih itu kerana perniagaan saya pun nak di saman, jadi rasa memang sedih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Bersampan ketika PRU?' yang dihoskan oleh Sam Ghani, disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Shariffa Sabrina berkata, beliau percaya usaha yang dilakukan demi perjuangan isu alam sekitar adalah perkara yang baik.

"Saya seorang yang patriotik, saya sangat sayang negara saya, Malaysia ni negara yang sangat bertuah. Kita mempunyai segala-galanya.

"Bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, kita tawakal kepada ALLAH SWT. Kita cuma berdoa ALLAH beri kita kekuatan. Tapi pada saya, saya percaya apa yang saya buat sekarang ini adalah kerana saya percaya ini perkara yang baik, perkara yang betul kerana menjaga khazanah alam, menjaga ciptaan ALLAH SWT itu adalah fardu kifayah," katanya.

Beliau menambah, Malaysia sepatutnya mencontohi negara luar termasuk negara jiran, Thailand dan Singapura yang meletakkan pemeliharaan alam sekitar sebagai perkara utama.

"Bila saya pergi negara-negara luar terutama negara bukan Islam, mereka menjaga alam mereka dengan baik. Saya rasa sangat cemburu tengok keadaan alam yang mereka jaga. Kita tak payah pergi jauh, pergi Thailand atau Singapura..

"Walaupun Singapura negaranya sangat kecil, kenapa negaranya maju kerana mereka sangat menjaga alam mereka. Apa-apa negara yang maju, alam sekitar menjadi keutamaan mereka. Tapi kita, alam sekitar sentiasa diletakkan di belakang," katanya.

Artikel Berkaitan: