Rugi RM17,000 gara-gara 'kad kuasa'

Eng Lai menunjukan emblem kenderaan yang diberikan kepada ahli NGO berkenaan.
Eng Lai menunjukan emblem kenderaan yang diberikan kepada ahli NGO berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki kerugian RM17,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan gara-gara mahu memiliki 'kad kuasa' dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket berkenaan beroperasi di sebalik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2013.

Menurutnya, mangsa membuat laporan pada 20 Oktober mendakwa ditipu dua lelaki yang menawarkannya untuk menjadi ahli NGO dan diarah membayar wang meja untuk satu majlis makan malam, namun majlis berkenaan tidak dapat dijalankan.

"Mangsa mendakwa jika ingin menjadi ahli pertubuhan terbabit, dia perlu membayar yuran sebanyak RM2,200 dan akan mendapat pelbagai layanan istimewa termasuk tidak ditahan ketika sekatan jalan raya," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.

Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Sentul menahan lima lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Selasa.

"Polis juga merampas 19 helping t-shirt, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem (kenderaan), tiga keping kad kuasa, lima keping kad keahlian dan empat keping acuan cetakan yang kesemuanya mempunyai logo PDRM, KDN dan AADK," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti jumlah mangsa dan 'kad kuasa' yang telah dikeluarkan oleh sindiket terbabit.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (memperdaya) dan Seksyen 88(b) Akta Polis 1967 (menjual dan membekal lencana anggota polis) serta Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

Artikel Berkaitan:

"Salah seorang daripada suspek dikesan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

"Polis kemudian menahan reman dua daripada lima suspek ini untuk tindakan lanjut, manakala tiga yang dibebaskan akan dijadikan saksi pendakwa," katanya.