Penilaian fizikal, harga 36 pesawat tempur selesai

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang. Foto Bernama.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang. Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Pertahanan telah menyerahkan laporan berhubung perolehan 36 pesawat tempur ringan (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini penilaian fizikal dan rundingan harga telah selesai dan hanya menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan.

"Memang kita perlukan LCA dan percaya tidak akan timbul masalah sekiranya saya guna kaedah sebelum ini, iaitu aset yang ditentukan oleh end user sendiri (TUDM), ini janji saya kepada Air Force,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran kumpulan pertama Pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALLBATT 850-10) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) ke Lubnan, di Pangkalan TUDM Subang, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas mengenai dakwaan tiada lawatan penilaian yang dibangkitkan oleh pembida tender perolehan LCA itu, beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kalau ingin menuduh perlu sertakan bukti, kalau salah tetap salah, jadi panjangkan bukti kepada agensi berkaitan biar mereka siasat," katanya.

Sebelum ini, sejumlah lapan syarikat antarabangsa dilaporkan membida tender pembekalan 36 jet LCA TUDM setakat ini.

Perolehan LCA menggantikan lima jet LCA dua kerusi model BAE System Hawk Mk 108 dan 13 model Mk 208 kerusi tunggal buatan Britain yang digunakan lebih sedekad lalu, di samping turut melibatkan penggantian tujuh jet latihan penggempur (FLIT) model Aermacchi MB-339CM buatan Itali yang ketika ini ditempatkan di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu 854 pegawai, anggota dihantar menyertai MALBATT 850-10 untuk menjalani misi pengaman UNIFIL secara berperingkat selama setahun.

Hishammuddin berkata, misi UNIFIL kali ini menampilkan kekuatan keseluruhan seramai 854 orang iaitu 84 pegawai dan 770 anggota Lain-lain Pangkat termasuk seorang pegawai awam MINDEF yang akan diketuai Kol Mohd Rizman Ramli selaku Komander.

Selain itu, MALBATT 850-10 turut akan disertai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang menampilkan dua anggota wanita ABDB buat pertama kali dalam misi berkenaan.

"Kesemua mereka akan diatur gerak secara berperingkat bermula hari ini bagi melaksanakan misi secara rasmi selama 12 bulan mulai 13 November ini hingga 13 November 2023.

"MALBATT 850-10 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin seterusnya akan melaksanakan tugas-tugas di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL manakala perintah dan kawalan pentadbiran serta hal-hal disiplin pula diletakkan di bawah Markas Angkatan Bersama,” katanya. - Bernama.