Malaysia persiap formula emas

Skuad berbasikal negara dalam misi mempertahan pingat emas acara lebuh raya lelaki pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tahun depan. - Foto Agensi.
Skuad berbasikal negara dalam misi mempertahan pingat emas acara lebuh raya lelaki pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tahun depan. - Foto Agensi.
A
A
A

SELEPAS gagal memperagakan kayuhan mantap pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, pasukan kebangsaan Malaysia kini mula mengasah taring dalam misi mempertahan pingat emas acara lebuh raya lelaki pada Sukan SEA 2023 di Kemboja pada tahun depan.

Sebagai permulaan, Malaysia akan menganalisis kekuatan pasukan Thailand, Indonesia dan Filipina yang dianggap boleh menghancurkan harapan untuk membawa pulang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di bumi Kemboja nanti.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab merumuskan Thailand sebagai pesaing paling getir rentetan persembahan mantap Thailand Continental Team pada cabaran LTdL 2022 yang berakhir minggu lalu.

“Saya dimaklumkan, Thailand Continental Team mempunyai sekurang-kurangnya tiga pelumba yang sangat hebat. Pasukan itu menyandarkan sepenuhnya kepada pelumba tempatan mereka pada saingan LTdL baru-baru ini.

“Justeru, mereka mempunyai kelebihan yang sangat ketara pada Sukan SEA 2023 nanti. Malah, pelumba mereka sudah tahu kekuatan skuad lebuh raya Malaysia. Jadi, kita mesti berwaspada dengan kekuatan Thailand.

“Saya menjangkakan Thailand akan muncul sebagai pencabar utama Malaysia untuk mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya pasukan kebangsaan perlu mengekalkan formula 4 1 atau 3 2 sekiranya mahu mengekalkan sasaran kilauan emas di Kemboja nanti.

“Apakah maksud 4 1 atau 3 2? Maksud 4 ialah 4 pelumba profesional dan 1 pelumba amatur kebangsaan. Begitu 3 2. Malaysia mesti diperkukuhkan dengan kehadiran pelumba profesional TSG (Terengganu Cycling Team) dan Sapura (Sapura Cycling Team),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang menyambar Jersi Merah selaku Raja Bukit LTdL 2020 dan 2022 menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.

Dalam pada itu, Abu Samah turut menjelaskan, pengurusan Biro Lebuhraya PKBM akan mengadakan post-mortem menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan skuad negara yang gagal menyerlah pada LTdL 2022.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan pencapaian dua pelumba muda iaitu Izzat Helmi Abd Halil dan Kee Zhe Yie yang disifatkan melepasi sasaran pada saat LTdL menampilkan enam pasukan Pro-Tour dunia.

“Kita akan buat pemilihan secara teliti. Siapa pun yang terpilih, sasaran kita mahu mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam. Saya harapkan formula 4 1 atau 3 2 akan beri kelebihan kepada kita,” ujarnya.