Sultan Selangor perkenan lancar PM3 bernilai RM1.2 bilion

Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah turut berkenan melawat tapak pameran disediakan dan mendengar penerangan mengenai produk dihasilkan GSPP Selangor.
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah turut berkenan melawat tapak pameran disediakan dan mendengar penerangan mengenai produk dihasilkan GSPP Selangor.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard and Packaging (GSPP) Selangor, projek bernilai RM1.2 billion di Mukim Tanjung 12, Banting di sini pada Khamis.

Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di pusat pelancaran jam 10.30 pagi.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Oji Holding Corporation, Hiroyuki Isono.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan melawat tapak pameran disediakan dan mendengar penerangan mengenai produk dihasilkan GSPP Selangor yang memulakan operasi bermula April lalu sebelum menandatangani plak dan melancarkan majlis berkenaan.

Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah turut berkenan melawat ke kawasan PM3 selepas majlis pelancaran sebelum berangkat pulang.

PM3 ialah sebuah projek yang bernilai RM1.2 bilion, yang lahir hasil dari perancangan jangka panjang GSPP untuk kekal teguh di tahun-tahun mendatang walaupun berhadapan dengan saingan yang semakin sengit di pasaran.

Teknologi pembuatan kertasnya yang canggih mampu mengeluarkan kertas berjisim ringan berkekuatan tinggi dan berkualiti bagi menghasilkan kotak pembungkusan yang baik tanpa menjejaskan mutunya selaras dengan hasrat GSPP untuk memanfaatkan sumber semula jadi dengan lebih bermakna.

Sebagai pendukung kuat amalan lestari bagi memelihara sumber asli, GSPP juga percaya masa depan global yang lebih baik boleh dibina dengan memacu hasil lestari untuk komuniti, alam sekitar dan pelanggannya.

Artikel Berkaitan:

Hiroyuki Isono (dua kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran.
Hiroyuki Isono (dua kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran.

Sementara itu, Hiroyuki Isono yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran berkata, sejak pengambilalihan GSPP pada tahun 2010, Oji Holdings Corporation (Oji) terus melabur di Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah syarikat kertas, pembungkusan dan produk berasaskan kertas terbesar di Malaysia.

Menurut beliau, selain mengembangkan sektor bahan perindustrian, Oji juga telah banyak melabur dalam perniagaan bahan pelbagai fungsi dan lampin pakai buang.

"Bulan lepas, Oji telah menguasai Adampak Group, sebuah pengeluar label kertas pelekat terbesar di Asia Tenggara. Sehingga kini, Oji telah berkembang seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia dengan 18 lokasi perniagaan di seluruh negara.

"Memandangkan pasaran Asia Tenggara dan India dilihat sebagai pusat pertumbuhan perniagaannya, Oji mengunjurkan nisbah jualan luar negara akan melebihi 50 peratus pada masa hadapan melalui Rancangan Perniagaan Jangka Penggalnya," katanya.

Dalam masa sama, Oji turut menyasarkan matlamat untuk menjadi penyedia kemudahan bahan pembungkusan nombor satu di ASEAN sejak ia menembusi pasaran Malaysia pada tahun 2010.

"Oji Holdings akan merayakan ulang tahun ke-150 penubuhannya pada tahun depan dan ditubuhkan pada 1873 oleh Eiichi Shibusawa Oji telah pesat berkembang sebagai salah satu pengeluar pulpa, kertas dan produk berasaskan kertas bersepadu terkemuka di dunia.

"Ia akan terus berkembang untuk tempoh 150 tahun akan datang sebagai sebuah syarikat berasaskan prinsip pengurusan Penciptaan Nilai Inovatif, Sumbangan kepada Masa Hadapan dan Dunia dan Keharmonian bersama Alam Semula Jadi dan Masyarakat," kata Hiroyuki.

Tambahnya, Oji akan terus berusaha untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian seiring dengan memenuhi jangkaan dan permintaan pelanggannya, yang secara tidak langsung akan membantu mengembangkan ekonomi Malaysia.