RISDA mohon kerajaan kawal aktiviti import getah sintetik

Mohd Salim (duduk, tengah) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli Kampung Panchor ketika hadir program Pekebun Kecil Makmur RISDA Bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia.
Mohd Salim (duduk, tengah) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli Kampung Panchor ketika hadir program Pekebun Kecil Makmur RISDA Bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia.
A
A
A

JEMPOL - Kerajaan diminta mengawal aktiviti mengimport getah sintetik bagi memastikan pasaran getah asli negara tidak terjejas.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, ini kerana getah sintetik kini menjadi pilihan industri terutama dalam pembuatan sarung tangan.

"Banyak kilang sarung tangan yang menggunakan getah sintetik kerana harganya lebih murah dan senang didapati menyebabkan getah asli sudah jarang digunakan.

"Jadi, kerajaan perlu tegas dalam isu ini kerana jika dibiarkan ia akan memberi kesan lebih buruk kepada industri getah asli negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Pekebun Kecil Makmur RISDA Bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Kampung Orang Asli Panchor di sini pada Rabu. Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Tambah Mohd Salim, kerajaan juga perlu memastikan cukai levi dikenakan terhadap sebarang aktiviti mengimport getah sintetik untuk kegunaan apa sahaja industri bagi menjamin harga getah asli akan meningkat.

 Mohd Salim (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan beras kepada penduduk Kampung Orang Asli Panchor pada program berkenaan.
Mohd Salim (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan beras kepada penduduk Kampung Orang Asli Panchor pada program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, RISDA akan terus merancang pelbagai program Aktiviti Ekonomi Tambahan(AET) bagi menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang perniagaan yang dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan susulan harga komoditi getah yang tidak menentu.

Ujarnya, pelan tindakan itu dirangka bagi mencapai objektif agar setiap isi rumah pekebun kecil memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan pada tahun 2025.

"Hari ini kalau nak harapkan pendapatan hasil getah semata-mata, memang sukar. Tapi saya faham, selagi kita tidak dapat meningkatkan harga lantai getah, selagi itulah produktiviti getah tidak dapat ditingkatkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, RISDA berharap pekebun kecil tidak berputus asa dengan industri getah dan terus menoreh seperti biasa.

Mohd Salim berkata, sekitar tahun 80-an dahulu, harga getah mencecah sehingga RM6 ke RM7 sekilogram, tetapi untuk mendapatkan nilai sama pada waktu sekarang agak mustahil.

"Ini kerana harga getah kini bukannya di bawah kawalan negara kita semata-mata tetapi melibatkan negara luar," katanya.

Sementara itu pada program berkenaan, beliau menyampaikan bantuan sebanyak 861 kampit beras kepada masyarakat Orang Asli Kampung Panchor dengan peruntukan sebanyak RM11,193.