Saya banyak lakukan kesilapan: Zii Jia

Zii Jia masih belum berpuas hati dengan prestasinya pada Terbuka Denmark dan Perancis. - Foto Getty Images
Zii Jia masih belum berpuas hati dengan prestasinya pada Terbuka Denmark dan Perancis. - Foto Getty Images
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tekad memperbaiki segala kelemahan untuk berada pada tahap prestasi yang lebih tinggi ekoran perjuangannya dalam saingan Terbuka Perancis sekadar di pusingan pertama.

Pemain berusia 24 tahun itu juga mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasinya meskipun sudah berjaya mencapai sasaran peribadi untuk bergelar pemain nombor dua dunia sebelum hujung tahun ini.

Zii Jia mendaki satu anak tangga untuk menghuni kedudukan nombor dua dunia selepas muncul naib juara Terbuka Denmark di Odense, Ahad lalu.

Pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu terlepas gelaran juara selepas tewas kepada pemain China, Shi Yu Qi pada aksi final.

Bagaimanapun, selepas aksi final di Odense, juara Asia itu ditunjukkan jalan keluar lebih awal apabila tewas kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 18-21 dalam saingan Terbuka Perancis di Paris Rabu.

Kekalahan itu adalah yang kedua buat Zii Jia di tangan lawan tersebut yang menewaskannya pada pusingan kedua Terbuka Malaysia Jun lalu.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Zii Jia terkandas di pusingan pertama Terbuka Perancis selepas edisi 2019 dan 2021.

Kekalahan di tangan Rhustavito juga mendedahkan kelemahan Zii Jia dan menuntut dia untuk kembali bangkit.

Artikel Berkaitan:

“Saya banyak melakukan kesilapan mudah dan tidak mempunyai tahap kesabaran yang diperlukan.

“Biarpun bergelar pemain nombor dua dunia, saya tidak berpuas hati dengan pencapaian sekarang.

“Saya masih berusaha untuk memperbaiki kelemahan kerana ada sebahagian dalam permainan saya yang perlu dipertingkatkan untuk berada di tahap lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kekalahan berkenaan ada kaitan dengan urusan peribadi yang dilaluinya selepas datuknya dilaporkan meninggal dunia Isnin lalu.

Zii Jia dijadualkan beraksi dalam dua lagi kejohanan iaitu Terbuka Hylo di Jerman bermula 1 hingga 6 November, disusuli Terbuka Australia 15 hingga 20 November.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada pemain berkenaan akan menyertai kedua-dua kejohanan itu selepas berita pemergian datuknya.