PRU15: Pengundi muda ambil sikap tunggu dan lihat

Gambar dari kiri: Muhammad Adli, Mahadzir, Muhammad Fauzzan
Gambar dari kiri: Muhammad Adli, Mahadzir, Muhammad Fauzzan
A
A
A

KANGAR – Kelompok pengundi muda rata-ratanya mahu mengambil sikap tunggu dan lihat calon serta manifesto parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata pengundi muda ditemui tidak mahu hanya melihat kepada lambang parti politik semata-mata kerana berpendapat calon yang ingin menjadi wakil rakyat perlu mempunyai kredibiliti dan berkemampuan.

Eksekutif akaun, Muhammad Fauzzan Morshid, 26, berkata, tidak tahu simbol mana yang akan dipangkah pada hari pengundian 19 November depan walaupun mempunyai minat terhadap parti politik tertentu.

“Saya mengikuti perkembangan sebuah parti politik tetapi belum pasti lagi akan mengundi mereka atau tidak.

“Yang paling penting, kena tahu siapa calon akan bertanding. Calon itu kenalah sanggup mendengar rintihan rakyat dan sentiasa turun padang ke kawasan diwakili,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Penyelia projek, Mahadzir Mansor, 32, berkata, mahu melihat kredibiliti calon terlebih dahulu semasa kempen pilihan raya dilaksanakan.

“Calon memainkan peranan penting dalam pilihan raya kali ini. Saya mahukan wakil rakyat yang merupakan orang tempatan dan menetap di sini kerana mudah untuk bertemu,”katanya.

Sementara itu, eksekutif media sosial, Muhammad Adli Hadi Abd Halim, 23, mengharapkan PRU15 akan membawa perubahan dalam tampuk pentadbiran kerajaan negeri Perlis.

Artikel Berkaitan:

“Saya mahu dengar dan lihat manifesto yang akan diketengahkan semua parti politik dulu sebelum memilih parti mana mahu dipangkah.

“Sekarang pengundi mempunyai banyak pilihan (parti politik) dan saya kalau boleh mahu melihat perubahan politik di negeri ini. Mungkin sudah sampai masa untuk berubah,” ujarnya.