PRU15: Syor anjur debat terbuka calon bertanding

Mohd Jamaludin berucap semasa pengumuman deklarasi pemimpin penganut pelbagai agama menjelang PRU15 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Mohd Jamaludin berucap semasa pengumuman deklarasi pemimpin penganut pelbagai agama menjelang PRU15 di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai agama mencadangkan agar debat terbuka di peringkat nasional diadakan antara calon-calon bertanding menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin dan NGO Pelbagai Penganut Agama, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, penganjuran debat terbuka itu bertujuan membuka peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto terbaik dan kelebihan masing-masing kepada masyarakat umum.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) berkata, debat terbuka merupakan hak kepada semua parti dan calon bertanding untuk diberi peluang mengemukakan pandangan masing-masing.

Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemimpin dan NGO Pelbagai Penganut Agama itu adalah satu permintaan yang masuk akal, bukannya satu permintaan luar biasa.

Menurutnya, amalan debat sudah menjadi satu perkara lazim di semua negara yang mengamalkan amalan demokrasi.

"Jika kita mahu pergi ke arah satu amalan demokrasi yang matang, maka kena ada semua ciri-ciri dicadangkan termasuk debat terbuka.

"Ia bukan satu permintaan yang menyusahkan sebaliknya satu prinsip asas dalam amalan demokrasi berperlembagaan.

"Menerusi debat dan dialog terbuka, kita sebagai calon boleh nampak kebolehan dan ilmu seseorang, maka calon bertanding boleh dinilai dengan baik," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman deklarasi pemimpin penganut pelbagai agama menjelang PRU15.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak lapan deklarasi dicadangkan iaitu menyeru kepada pemimpin politik supaya menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, menuntut agar pemimpin politik memastikan konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dikekalkan dan diamalkan dengan setulusnya.

Selain itu, gabungan NGO itu turut menuntut agar berlaku pemisahan kuasa antara pendakwa raya negara dan peguam negara, menuntut semua institusi dan agensi semak imbang dan penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti selain menyeru agar semua pihak menjunjung demokrasi yang matang serta memastikan pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU15.

Mereka turut mencadangkan supaya debat terbuka diadakan segera di antara calon-calon parti politik dan mengingatkan semua parti supaya berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding.

Mengulas lanjut, Mohd Jamaludin berkata, menerusi debat dan dialog terbuka menjelang PRU15, rakyat tidak boleh lagi diseleweng dan diperdaya dengan penipuan oleh ahli politik.

Ini kerana jelasnya, ada naratif balas yang boleh menyerlah hakikat kebenaran setelah apa yang diucapkan ahli-ahli politik sebelum bergelar pemimpin.

Dengan itu menurutnya, ia merupakan ruang terbaik untuk ahli politik dan parti jelaskan apa yang akan diberikan kepada rakyat.

Katanya, menerusi debat yang diadakan, orang ramai dapat mengetahui dan menilai calon yang bertanding dengan lebih baik kerana ia merupakan akses kepada keupayaan seseorang.

"Rakyat dapat melihat bakal pemimpin mereka yang bijak berfikir dan boleh menyelesaikan masalah kerana mempunyai ilmu pengetahuan.

"Kita perlukan pemimpin yang bijak dan boleh membantu meningkatkan ekonomi negara, membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu serta menjadikan negara yang lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.