Maritim Malaysia kerah aset, anggota depani musim tengkujuh

Aset udara Maritim Malaysia akan dikerah dalam persediaan menghadapi musim tengkujuh. (Gambar atas: Hamid)
Aset udara Maritim Malaysia akan dikerah dalam persediaan menghadapi musim tengkujuh. (Gambar atas: Hamid)
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) siap siaga bagi mengerah aset udara dan bantuan keanggotaan dalam persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, ini bagi memberi bantuan kepada komuniti yang terjejas banjir.

Menurutnya, sebagai sebuah agensi penyelamat di laut, Maritim lebih memberi penekanan dan tumpuan kepada komuniti di pulau-pulau serta penduduk di pesisir pantai dalam berhadapan situasi bah yang mungkin berlaku diakibatkan oleh pasang surut air laut.

"Meskipun begitu peranan kita (Maritim Malaysia) tidak dihadkan dan sentiasa bersedia untuk memberi bantuan di kawasan darat berdasarkan keperluan dan kesiagaan aset yang ada.

"Keperluan aset terutamanya pesawat udara Maritim juga akan disediakan sekiranya perlu bergantung kepada keadaan semasa berdasarkan koordinasi yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, setiap Maritim Malaysia negeri dan zon juga telah diarah untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan termasuk memberi pendedahan awal kepada komuniti maritim tentang kesedaran keselamatan maritim di kawasan yang berpotensi terkesan dengan bah pada musim tengkujuh ini.

Katanya, hebahan tentang kempen kesedaran keselamatan berkaitan perubahan monsun juga dibuat melalui pertemuan dengan persatuan-persatuan nelayan setempat, kerjasama stesen-stesen radio di negeri masing-masing serta di media sosial.

"Kita mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim di setiap Maritim negeri atau MERS 999," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu mengundang risiko berlaku hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.