Elak rakyat pangkah calon nikah di Siam

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEMAKAN status di pejabat agama yang akan dilakukan BN terhadap calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti itu harus dipuji.

Langkah itu untuk pastikan calon yang dipilih untuk bertanding bebas daripada melakukan kesalahan di bawah undang-undang perkahwinan dan undang-undang keluarga Islam seperti nikah di Siam dan tidak membayar nafkah anak.

Dengan inisiatif yang kali pertama diperkenalkan dalam PRU kali ini, BN mendahului gabungan parti lain dalam melakukan saringan menyeluruh kepada calon.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa dilaporkan berkata, semakan di pejabat agama sebagai tambahan kepada saringan yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, tapisan hanya membabitkan semakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Kata Ismail Sabri, ia kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon berkaitan kesalahan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama.

Inisiatif BN itu dilihat tepat pada masanya dalam memilih calon yang benar-benar bersih, berintegriti dan berkredibiliti.

Ia kerana, kalau individu yang diangkat menjadi calon itu ada rekod nikah di Siam umpamanya, ia sememangnya akan memburukkan imej parti selain ia akan menjadi modal untuk sesebuah parti diserang parti lain.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan itu juga dapat mengelakkan pengundi daripada tersalah memilih pemimpin yang melanggar undang-undang dengan memangkah calon yang ada rekod nikah di Siam atau melakukan kesalahan-kesalahan lain.

Jika undang-undang yang ditetapkan gagal dipatuhi bagaimana calon itu sendiri mahu menggubal undang-undang sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat nanti.

Oleh itu, sewajarnya gabungan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) turut mencontohi BN dengan melakukan tapisan dari segenap sudut.

Seandainya saringan menyeluruh itu diteruskan dalam PRU-PRU selepas ini juga pastinya kaum-kaum isteri akan lega dan rasa 'selamat'.

Maklumlah suami-suami mereka yang bergelar wakil rakyat sudah tentu tidak akan berani untuk tambah 'cawangan' dengan berkahwin di Thailand kerana takut kelayakan mereka sebagai calon akan tergugur.