[VIDEO] Calon PKR di Negeri Sembilan belum muktamad: Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tiga kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum dimuktamadkan.

Jelasnya, calon di tiga kerusi berkenaan iaitu Parlimen Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah akan diumumkan dalam satu majlis pada Jumaat ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak umum satu-satu, hari itu (pengumuman calon PKR Parlimen Port Dickson) mungkin beliau (Anwar) tak nak orang Port Dickson marah dia kan, dia letak la nama saya, tetapi belum tentu lagi.

"Saya tak yakin selagi saya belum dapat watikah belum tentu lagi... orang yang dapat watikah pun boleh bertukar calon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelancaran buka Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban di sini, pada Selasa.

Aminuddin (empat kiri) ketika merasmikan program berkenaan pada Selasa.
Aminuddin (empat kiri) ketika merasmikan program berkenaan pada Selasa.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan turut menjelaskan calon yang sah adalah pada hari penamaan calon nanti.

"Kita tunggu sampai hari penamaan calon, itu adalah calon yang sah... jadi kita sedia maklum PKR akan mengadakan pengumuman calon pada 28 Oktober ini," kata Naib Presiden PKR itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua senarai pendek calon bagi tiga kerusi Parlimen yang bakal ditandingi parti berkenaan di Negeri Sembilan telah diserahkan kepada Anwar untuk membuat keputusan akhir pemilihan calon pada pilihan raya ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Aminuddin akan mewakili calon PH di Parlimen Port Dickson pada PRU15.

Perkara itu disahkan melalui pengumuman dibuat Anwar yang juga penyandang Parlimen Port Dickson ketika Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar, Lukut di Port Dickson.

Sebagai rekod, PH Negeri Sembilan negeri telah menetapkan pembahagian kerusi Parlimen iaitu tiga untuk PKR, tiga untuk Parti Amanah Negara (Amanah) dan dua untuk DAP pada PRU15.