Kes Felda: Beberapa individu akan dipanggil polis

Mohamad Fuzi (tengah) mengesahkan pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat pihak Felda.
Mohamad Fuzi (tengah) mengesahkan pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat pihak Felda.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurutnya, beliau telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk menjalankan siasatan segera.

"Kita ada terima laporan polis daripada pihak Felda.

"Siasatan sedang dijalankan. Kita akan memanggil beberapa individu untuk merekod keterangan bagi membantu siasatan," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech, di sini, hari ini.

Persidangan ini membawa mesej penting tentang bagaimana teknologi menjadi titik teras kepada agensi penguatkuasa undang-undang apatah lagi sifat jenayah dan ancaman keselamatan juga telah berkembang sejajar dan menjadi lebih kompleks dalam aspek keganasan, keganasan siber, jenayah komersial atau jenayah berkaitan imigresen.

Kelmarin, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan Felda membuat transaksi pada 2016 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora.

Menurut Othman, tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Tan Sri Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, Felda akhirnya dipaksa untuk membeli syarikat itu pada harga melambung melebihi 300 peratus sedangkan nilai pasaran saham pada ketika itu tidak mewajarkan pembelian pada harga sedemikian.

Kerugian yang ditanggung Felda akibat daripada pelaburan dalam EHP ialah pelaburan Felda sebanyak RM2.3 bilion kini hanya bernilai RM555 juta setakat 8 Mac tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan laporan polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.