Patuhi peraturan, prosedur masuk ke Malaysia

 Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan pelbagai persediaan bagi menghadapi kemasukan mendadak pelawat dari Singapura menerusi pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bersempena Deepavali pada Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, persediaan melibatkan pembukaan kaunter manual, 'autogate' dan laluan motosikal supaya boleh beroperasi pada tahap terbaik.

Menurutnya, pelawat yang memasuki Malaysia khususnya melalui pintu masuk BSI dan KSAB diminta agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa supaya proses pemeriksaan dokumen berjalan lancar.

"Selain itu, pelawat dinasihatkan supaya memastikan dokumen perjalanan dan lain-lain dokumen seperti visa bagi negara yang memerlukan visa tersedia serta masih dalam tempoh sah laku.

"Ini bagi mengelakkan tidak menimbulkan masalah semasa pemeriksaan, dokumen yang tidak teratur akan menyebabkan kemasukan ditolak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ejen-ejen pelancongan diminta untuk mengemukakan lebih awal senarai pelawat dan jumlah bas pelancongan, seperti yang dipersetujui dalam sesi libat urus pada 12 Oktober lalu.

"Kerjasama semua pihak dapat membantu mempercepatkan proses kemasukan.

"Dalam kesempatan ini, Jabatan Imigresen Malaysia mengucapkan selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, polis berjaya mengawal cubaan rempuhan oleh orang ramai (pengembara) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, insiden (rempuhan) terbabit dipercayai berlaku akibat pertambahan pengembara yang mahu memasuki negara ini sempena cuti hujung minggu dan cuti perayaan.

Katanya, Bangunan Sultan Iskandar sesak apabila dianggarkan sekitar 5,000 pengembara berada di laluan pejalan kaki masuk ke Malaysia.