Buka laluan kontra di CIQ,BSI dan KSAB elak kesesakan

Onn Hafiz ( kanan) membuat tinjauan ke CIQ BSI susulan aduan orang ramai mengenai kesesakan luar biasa di Tambak Johor, di sini pada Jumaat.- Foto: FB Onn Hafiz
Onn Hafiz ( kanan) membuat tinjauan ke CIQ BSI susulan aduan orang ramai mengenai kesesakan luar biasa di Tambak Johor, di sini pada Jumaat.- Foto: FB Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mencadangkan agar laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dibuka ekoran kesesakan luar biasa di dua pintu masuk itu sejak Khamis.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, laluan kontra itu khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama ketika musim cuti sekolah atau cuti panjang.

"Pada Khamis sahaja, lebih 258,000 orang pengembara menggunakan laluan di CIQ BSI, dan 63,000 orang pengembara lagi menggunakan laluan KSAB.

"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya minta pengurusan BSI dan KSAB untuk mempertimbangkan laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam.

"Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau membuat tinjauan ke CIQ BSI susulan aduan orang ramai mengenai kesesakan luar biasa di Tambak Johor pada Jumaat.

No Image Caption

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut meminta pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua untuk merancang perjalanan terlebih dahulu.

"Ia supaya mereka tidak terperangkap dalam kesesakan di atas jalan. Semoga anda semua sampai ke destinasi dengan selamat.

"Saya juga memohon supaya semua agensi penguat kuasa terlibat untuk terus cekal dan tabah memastikan kelancaran aliran trafik keluar masuk ke negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberi ingatan kepada warganegara asing khususnya yang memandu kenderaan di negara ini agar mematuhi undang-undang jalan raya yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, mereka juga diminta untuk sentiasa mengawal emosi dan bersabar dengan situasi semasa jalan raya selain tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh membahayakan diri dan orang lain.