Kenderaan dari Singapura potong barisan diarah berpatah balik

Polis Johor meningkatkan penguatkuasaan trafik di CIQ, BSI dan KSAB pada Jumaat. - Foto: Polis Johor
Polis Johor meningkatkan penguatkuasaan trafik di CIQ, BSI dan KSAB pada Jumaat. - Foto: Polis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kenderaan dari Singapura yang memotong barisan untuk memasuki negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dikenakan tindakan saman selain turut diarahkan berpatah balik.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kelancaran trafik di BSI dan KSAB susulan peningkatan kemasukan pengembara dan kenderaan ke Malaysia sempena cuti hujung minggu serta Hari Wesak di Singapura.

"Pada hari ini, telah berlaku kesesakan di pintu masuk utama dari Singapura iaitu di BSI dan KSAB. Polis Johor telah mengambil langkah proaktif dengan mengatur gerak penugasan bagi memastikan kelancaran trafik.

Kenderaan yang memotong barisan untuk memasuki negara ini dari Singapura melalui CIQ, BSI dan KSAB dikenakan tindakan saman selain turut diarahkan berpatah balik.- Foto: Polis Johor
Kenderaan yang memotong barisan untuk memasuki negara ini dari Singapura melalui CIQ, BSI dan KSAB dikenakan tindakan saman selain turut diarahkan berpatah balik.- Foto: Polis Johor

"Selain itu, penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas terutama yang memotong barisan akan dikenakan saman dan diarahkan berpatah balik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamarul Zaman menasihatkan warga asing yang memasuki negara ini mematuhi undang-undang lalu lintas, berhemah ketika memandu, kawal emosi dan sentiasa bersabar.

Kemasukan pengembara dari Singapura ke Malaysia melalui CIQ, BSI dilaporkan meningkat pada Jumaat susulan cuti hujung minggu dan Hari Wesak di Singapura. - Foto: Polis Johor
Kemasukan pengembara dari Singapura ke Malaysia melalui CIQ, BSI dilaporkan meningkat pada Jumaat susulan cuti hujung minggu dan Hari Wesak di Singapura. - Foto: Polis Johor

"Jangan sesekali buat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain," tegasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas mengawal kesesakan trafik di KSAB Gelang Patah.

"Saya difahamkan bahawa kenderaan yang memotong barisan tidak boleh masuk Malaysia dan akan diarah balik ke Singapura," katanya menerusi muat naik di laman Facebook rasminya pada Jumaat.