Kerajaan utama pembangunan digital: PM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

BERA - Kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi terutamanya ketika negara menempuh era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, literasi digital yang dimiliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, yang akan menyaksikan pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

"Ini kerana dalam Revolusi Industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

"Penggunaan teknologi muktahir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor dalam negara ini yang memerlukan mereka berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Penyerahan Komputer #thetaCares di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tabung Haji Datuk Seri Amrin Awaluddin dan CEO Kumpulan Theta Edge Berhad Nuraslina Zainal Abidin.

Menyentuh secara spesifik di Bera, penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata, setakat suku ketiga tahun ini, 95.9 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar disediakan oleh syarikat telekomunikasi Maxis dan Telekom Malaysia (TM) selain enam syarikat menyediakan perkhidmatan selular iautu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Unifi Mobile.

"Bera juga mendapat liputan siaran myFreeview, iaitu siaran televisyen digital percuma Malaysia yang menawarkan saluran televisyen dan radio popular tanpa sebarang bayaran atau yuran langganan," kata Ismail Sabri.

Sementara itu, Theta Edge Berhad yang merupakan syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji menerusi kenyataan media memaklumkan sebanyak 150 unit komputer disumbangkan hari ini (Sabtu), kepada penerima antaranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, masjid dan Tabika KEMAS sekitar Bera.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan di bawah program Pendigitalan Komuniti B40 itu melibatkan komputer yang dilengkapi dengan pemasangan Windows 10, LibreOffice, webcam dan penyediaan Wi-fi adapter, adalah selari dengan usaha memperkasa teknologi dan melahirkan lebih ramai komuniti celik digital. - Bernama.