Pacu industri dron ke arah transformasi digital - Ismail Sabri

Ismail Sabri berucap dalam perasmian pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 di Intercontinental Hotel, Shenzhen China.
Ismail Sabri berucap dalam perasmian pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 di Intercontinental Hotel, Shenzhen China.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Kongres Dron Dunia 2023 adalah waktu terbaik untuk memacu industri dron dunia ke arah mengadaptasi transformasi digital kepada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, industri dron atau Kenderaan Udara Tanpa Kawalan (UAV) mampu memanfaatkan negara dan rakyat.

“UAV adalah masa hadapan kerana fungsinya bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, malah boleh meningkatkan sekuti makanan dan meminimumkan impak perubahan iklim.

“Banyak manfaat dapat kita peroleh daripada sistem dron, jika digunakan sebaiknya dan perlu ada kesedaran yang tinggi oleh setiap negara untuk mencebur dan melabur dalam industri berkenaan,” katanya sewaktu merasmikan pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 di Intercontinental Hotel, Shenzhen China.

Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan, sektor pertanian di Malaysia sudah mula menggunakan dron secara intensif dalam aktiviti pemetaan ladang, pemeriksaan tanah, pembajaan dan peracunan.

Ismail Sabri (tengah) sewaktu merasmikan pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 di Intercontinental Hotel, Shenzhen China.
Ismail Sabri (tengah) sewaktu merasmikan pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 di Intercontinental Hotel, Shenzhen China.

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh sebuah agensi kerajaan menggunakan dron untuk mengawal selia ladang kelapa sawit yang mempunyai keluasan hampir 900,000 hektar.

“Setiap koridor di Malaysia juga mempunyai hab dron yang tersendiri seperti Kedah Aerotropolis dan Zon Dron serta Robotik Iskandar (DRZ) akan menjadi pencetus kepada sistem ekologi bandar pintar.

“Kawasan yang ditetapkan ini menyediakan persekitaran khusus untuk pembangunan dron, ujian dan penggunaan rekreasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri dron,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengajak pemain industri, pembuat dasar dan wakil kerajaan untuk menerokai kerjasama strategik dengan Malaysia menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Jelasnya, sekarang bukan masa untuk menolak arus perubahan teknologi kerana dron memberi banyak manfaat kepada negara dan masyarakat seterusnya mewujudkan negara yang membangun.

Beliau turut berharap agar pemilik dron menggunakan alatan itu untuk memelihara nyawa kerana ada pihak menjadikan ia sebagai senjata untuk membunuh nyawa.