Statut Rom: Tak adil label hasil kajian berat sebelah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pandangan yang mendakwa hasil kajian empat ahli akademik berhubung perjanjian antarabangsa Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja berat sebelah adalah tidak adil sama sekali.

Pakar Perlembagaan dan Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tindakan itu tidak wajar kerana kajian yang dijalankan adalah berlandaskan hujah akademik.

"Hanya kerana pandangan mereka tidak selari dengan pandangan kerajaan menyebabkan mereka dilabelkan sebagai berat sebelah.

"Tidak wajar label mereka begitu sedangkan mereka berhujah berlandaskan kajian akademik. Dakwaan itu seperti menafikan kebebasan bersuara khususnya di kalangan ahli akademik dalam sesuatu isu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada masa sama, beliau yakin, Majlis Raja-Raja juga telah mendengar kajian yang menghasilkan pandangan berbeza daripada apa yang dirumuskan ke empat-empat ahli akademik tersebut.

"Majlis Raja-Raja sudah tentu akan mengambil maklum kedua-dua pendapat tersebut dan telah memutuskan pendapat mana yang boleh terima.

"Namun saya tidak mempunyai apa-apa maklumat yang boleh disandarkan sama ada Majlis Raja-Raja telah mendengar dari dua pihak yang menyokong dan menentang Statut Rom," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar ke empat-empat ahli akademik tersebut diberikan peluang untuk menjelaskan hujah-hujah kajian yang dilaksanakan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Hujah ini untuk mengimbangi pandangan yang bertentangan. Selepas itu barulah kerajaan boleh membuat keputusan seterusnya tentang isu Statut Rom," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Statut Rom: Teo Nie Ching nafi bincang kedudukan ahli akademik

Sebelum ini, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik institusi pengajian tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan mengenai rumusan yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan kajian yang dijalankan secara sulit itu selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan kajian tersebut dihasilkan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad, Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz selain dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fared Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.