Ringgit dijangka terus merosot

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

RINGGIT dijangka terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, berkemungkinan dalam jajaran 4.75, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS dijangka tidak menarik nafas lega berikutan inflasi tidak menyusut dengan pantas di negara itu, sekali gus bererti kenaikan adalah lebih agresif, manakala dolar AS kukuh.

"Nampaknya terdapat kesepakatan bahawa inflasi tetap tinggi, sehubungan itu, pasaran turut mempertimbangkan kenaikan kadar yang selanjutnya adalah diperlukan.

‘Mudah tunai merosot dengan pantas, dan ini boleh menjejaskan mata wang berisiko seperti ringgit, dan saya tidak akan terkejut sekiranya ringgit diuji pada paras 4.75, terutamanya jika terdapat kelewatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan data perdagangan China yang lebih buruk daripada dijangkakan,” kata Innes.

Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asset Management Bhd Asia Tenggara bagi Malaysia, Patrick Chang berkata, unjuran ekonomi Malaysia terus mencabar berikutan pelabur telah mempertimbangkan potensi kepada kemelesetan ekonomi.

"Keadaan ini, dan kegelisahan mengenai kenaikan kadar faedah di AS, ditambah pula dengan pertumbuhan yang lebih perlahan di China telah menambahkan lagi kebimbangan terhadap unjuran ekonomi.

"Situasi yang tidak menentu ini akan kekal buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penganalisis pasaran berkata, berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka kekal dengan pendirian untuk meningkatkan kadar faedah bagi mengawal inflasi yang tinggi di AS, Bank Negara Malaysia (BNM) diramal akan melaksanakan tindakan yang sama untuk menyokong ringgit.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ringgit akan terus merosot sekiranya tiada pengukuh yang menyokong mata wang tempatan berbanding unit negara maju.

"Pelabur akan terus mengelak daripada kadar yang lebih pantas memandangkan pulangan pelaburan yang lebih baik terhadap dolar AS berbanding ringgit,” katanya sambil memaklumkan ketidaktentuan politik di Malaysia turut mempengaruhi mata wang tempatan.

"Kami menjangkakan ringgit akan meraih semula kedudukannya selepas pilihan raya apabila dasar baharu diumumkan. Ini akan meletakkan semula Malaysia sebagai negara yang stabil dari segi politik dan dasar,” katanya.

Pada Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.7380/7395 daripada 4.7025/7065 pada minggu sebelumnya.

Pasa asas Jumaat kepada Jumaat, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3144/3157 daripada 3.3009/3042 pada akhir minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 4.6139/6153 daripada 4.5741/5780.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2677/2694 daripada 5.2870/2915 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1384/1396 daripada 1836/1867 pada minggu sebelumnya. - Bernama.