Waris Rajes terima faedah Perkeso RM3,555 setiap bulan

Subahan (kanan) menyampaikan Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Komathy. - Foto Bernama
Subahan (kanan) menyampaikan Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Komathy. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Balu dan tiga anak pemain pertahanan Petaling Jaya City FC, Rajes Perumal yang meninggal dunia akibat kemalangan Isnin lepas, menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, balu mendiang, S Komathy, 36, layak menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memberi perlindungan kepada pekerja mengalami kemalangan.

Beliau berkata, bagi pengurusan pengebumian, Perkeso telah menyalurkan RM2,000 ke dalam akaun Komathy dan waris turut menerima RM3,555 setiap bulan.

"Bayaran bulanan ini merupakan bayaran berterusan... sekiranya apa-apa berlaku kepada balu, nilai itu akan terus disalur kepada anak-anak mendiang hingga umur mereka 21 tahun,” katanya selepas menziarahi keluarga Rajes di Batu Caves di sini pada Jumaat.

Isnin lepas, Rajes meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di Batu Muda di sini selepas hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok.

Selain isteri, pemain berpengalaman berusia 37 tahun itu turut meninggalkan tiga anak, R Thivyaalini, 9, R Pirutheswar, 7, dan R Kavee Nilavan, setahun.

Dalam pada itu, Komathy yang merupakan suri rumah berkata, faedah Perkeso yang diterima amat membantu dalam menguruskan anaknya yang masih bersekolah serta meneruskan kehidupan.

"Kehilangan suami memang sangat terkesan kepada keluarga saya... kami kehilangan tempat berkasih sayang dan memang banyak juga tanggungan sebab anak-anak masih kecil,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: