Pemain PJ City maut kemalangan

P Rajes
P Rajes
A
A
A

GOMBAK - Pemain bola sepak Petaling Jaya City (PJ City FC), P Rajes maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Sri Batu Caves di sini pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pada jam 11 malam itu, mangsa berusia 37 tahun menunggang motosikal jenis skuter Benelli 125i dari arah Batu Muda menghala ke Batu Caves.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noor Ariffin berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang P Rajes

Rajes, sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan lain iaitu PKNS FC, Selangor dan Kedah.

Artikel Berkaitan: