SPR digesa jelaskan pertambahan pengundi Melayu KDM

Bung Moktar (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
Bung Moktar (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
A
A
A


KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan pertambahan mendadak jumlah pengundi di Sabah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pertambahan jumlah pengundi itu turut melibatkan pengundi Melayu di kawasan yang majoriti berbangsa Kadazan Dusun dan Murut (KDM).

"Agak menghairankan apabila ada banyak pertambahan pengundi Melayu yang sepatutnya itu adalah kawasan KDM contohnya di Penampang.



"Jadi SPR harus perjelaskan datang dari mana pengundi berkenaan sehingga berlaku pertambahan jumlah pengundi yang mendadak," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ketua UMNO Sabah itu berkata, ekoran pertambahan mendadak jumlah pengundi itu juga dibimbangi akan menjejaskan BN dan juga parti lain di negeri ini.

"Ini bukan sahaja menjejaskan BN tetapi juga kepada parti lain dari segi sokongan dan sebagainya," ujar beliau.

Sebelum itu, beberapa pemimpin parti meluahkan keraguan berhubung pertambahan mendadak pengundi di Sabah dan mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak SPR.

Malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis turut memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau akan mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada Pengarah SPR berhubung perkara itu.

Beliau berkata, walaupun pendaftaran dilakukan secara automatik membabitkan Undi18 namun perlu ada penjelasan lanjut daripada pihak SPR mengenainya.
Artikel Berkaitan: