[VIDEO] Hajiji dapatkan penjelasan SPR lonjakan pengundi Sabah

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah, di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah, di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung jumlah pengundi di negeri ini yang dikatakan meningkat secara mendadak bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun pendaftaran dilakukan secara automatik membabitkan Undi18 namun perlu ada penjelasan lanjut daripada pihak SPR mengenainya.

"Kita akan mendapatkan maklumat dan taklimat daripada pengarah SPR dalam masa terdekat ini. Kita mahu mengetahui juga bilangan yang sesetengah pihak merasa ragu kerana terlampau mendadak.

"Jadi apabila kita mendapat taklimat penerangan dan penjelasan daripada pengarah SPR nanti baru kita boleh buat komen," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Bercakap lebih lanjut, beliau sedar ada beberapa personaliti politik yang menyatakan rasa ragu mereka terhadap lonjakan pengundi secara automatik ini.

"Jadi perlu penerangan lanjut daripada SPR kerana sekarang sistemnya ialah mendaftar secara automatik apabila berusia 18 tahun.

"Jadi kita tidak tahu mungkin ada orang-orang kita yang dulu walaupun sudah lebih 18 tahun atau 21 tahun mereka tidak mendaftar dan mungkin juga ada yang saya tidak boleh katakan sehingga ada penjelasan dan penerangan lanjut daripada pihak berkenaan," katanya.

Sebelum itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan rasa ragu mereka berhubung penambahan jumlah pengundi di Sabah dan menggesa pihak berkuasa menyiasat mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hajiji menegaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyenarai pendek nama calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan Pengerusi GRS berkata, calon yang disenarai pendek akan diumumkan sebelum penamaan calon diadakan nanti.

"Kita sudah senarai pendek sehingga kita umumkan sebelum penamaan calon. Kita boleh nyatakan bahawa kita sudah seakan-akan sampai ke senarai akhir untuk mengetengahkan calon-calon boleh menang, yang diterima oleh rakyat, yang boleh memberi khidmat apabila mereka menang dalam pilihan raya," katanya.