Atlet Sukma Terengganu terima insentif RM1.5 juta

Ahmad Samsuri (tengah) bersama pasukan bola sepak semasa menyampaikan insentif Sukma di Kuala Terengganu. Foto Bernama.
Ahmad Samsuri (tengah) bersama pasukan bola sepak semasa menyampaikan insentif Sukma di Kuala Terengganu. Foto Bernama.
A
A
A

SERAMAI 387 atlet, pegawai dan jurulatih kontinjen Terengganu yang muncul naib juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur bulan lalu menerima insentif kemenangan berjumlah RM1.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu sebagai tanda penghargaan atas usaha keras semua pihak yang membolehkan kontinjen negeri meraih 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa.

Beliau berkata, atlet sukan kanu, Shahida Asyiqin Rusli, menjadi penerima insentif tertinggi sebanyak RM33,500 apabila menyumbang kutipan terbanyak iaitu empat emas, tiga perak dan enam gangsa.

"Shahida Asyiqin, 18, yang berasal dari Kuala Terengganu menjadi kebanggaan Terengganu di Sukma 2022 apabila bukan sahaja mengutip 13 pingat malah memecah tiga rekod kebangsaan," katanya selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu Sukma Edisi Ke-20 di Kuala Terengganu.

Berdasarkan pencapaian tersebut, beliau berkata kerajaan negeri telah menaikkan jumlah insentif untuk setiap pingat yang disumbangkan oleh atlet.

"Pada awalnya kita menetapkan insentif sebanyak RM3,000 untuk pingat emas, pingat perak RM2,000 dan gangsa, RM1,000.

"Tetapi selepas melihat pencapaian yang memberangsangkan, kita telah menaikkan insentif sebanyak RM500 untuk semua pingat yang dimenangi," katanya.

Pada majlis itu Ahmad Samsuri turut melancarkan penubuhan Sekretariat Kebajikan Atlet Negeri Terengganu (SUKANT) dengan dana awal sebanyak RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata atlet atau bekas atlet boleh memohon untuk mendapatkan sebarang bantuan termasuk pinjaman pendidikan, perniagaan atau perubatan.

"Peranan SUKANT sama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di peringkat nasional. Mana-mana atlet kita yang ada menerima sumbangan daripada YAKEB masih boleh memohon dengan SUKANT.

"Kita akan mulakan dengan pemberian kad sejahtera kepada bekas atlet negeri mendapat rawatan di klinik swasta yang dilantik sebagai klinik panel," katanya. - Bernama