Jentera BN perlu kerja lebih keras tawan Parlimen Bakri

Mohd Fuad (tiga dari kiri), Ketua MCA Bahagian Bakri, Datuk Chris Lee Yong (dua dari kiri) dan Ketua MIC Bahagian Bakri, K Sundral (tengah) ketika merasmikan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional di Taman Sakeh Baru, Bakri, Muar pada malam Khamis.
Mohd Fuad (tiga dari kiri), Ketua MCA Bahagian Bakri, Datuk Chris Lee Yong (dua dari kiri) dan Ketua MIC Bahagian Bakri, K Sundral (tengah) ketika merasmikan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional di Taman Sakeh Baru, Bakri, Muar pada malam Khamis.
A
A
A
MUAR - Jentera BN Bakri perlu bekerja lebih keras daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu untuk menawan semula Parlimen Bakri yang menjadi milik DAP sejak tiga penggal lalu.

Pengerusi BN Parlimen Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata, bagi memastikan usaha itu menjadi kenyataan pihaknya menyasarkan 29,056 undi untuk menewaskan calon pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning itu yakin sasaran ditetapkan mampu dicapai sekiranya UMNO, MCA dan MIC dapat memperoleh sokongan mengikut jumlah peratusan yang ditetapkan itu.

"Semua jentera parti perlu bekerja keras mulai sekarang bagi memastikan sokongan diperolehi dan seterusnya memenangkan calon BN.



"Oleh yang demikian, semua arahan dan pergerakan kerja yang perlu diikuti adalah daripada Pengarah Pilihan Raya BN ditetapkan kepimpinan tertinggi selain bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya.

Mohd Fuad yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri berkata demikian ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional di Taman Sakeh Baru, Bakri di sini pada malam Khamis.

Pada PRU14, Yeo Bee Yin yang bertanding di Parlimen Bakri atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dengan majoriti 23,211 undi menewaskan calon BN, Koh Chon Cha dan calon Pas, Zarul Salleh.

BN tewas di kerusi tersebut dalam tiga PRU sebelum ini sejak 2008 yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN terutama MCA.

Mohd Fuad berkata, semua parti komponen perlu nenunjukkan kesungguhan masing-masing dalam memenangi hati pengundi bagi membuktikan keazaman untuk memberikan kemenangan tanpa mengira siapa yang akan dicalonkan nanti.

Menurutnya, untuk memenangi satu-satu pertandingan, perkara pertama perlu tertanam dalam diri jentera parti adalah melupakan perkara berkaitan kekalahan, susah atau apa sahaja rintangan yang mendatang.
Artikel Berkaitan:


Katanya, perkara pertama yang perlu difikirkan adalah bagaimana mahu mencapai kemenangan dan daripada itu nanti akan membolehkan timbulnya kekuatan untuk mencapai matlamatnya.

Beliau memberitahu, Parlimen Bakri mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Bukit Naning dan Simpang Jeram dengan 34 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Mohd Fuad percaya jika jentera BN dapat melakukan kerja lebih daripada yang ditunjukkan pada PRN Johor, tidak mustahil gabungan itu akan menang semula di Parlimen Bakri.