Jenazah Mael XPDC dikebumi di Tanah Perkuburan Bakri, Muar pagi ini

Jenazah Mael XPDC akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, Johor sekitar pukul 10 pagi ini.
Jenazah Mael XPDC akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, Johor sekitar pukul 10 pagi ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah Mael XPDC akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, Johor sekitar pukul 10 pagi ini.

Menurut pengurus kumpulan XPDC, Mohd Yazid Selamat, buat masa ini jenazah Mael berada di kediaman anak Allahyarham di Jalan Sungai Abong, Muar.

“Insya-ALLAH dijangkakan jenazah Allahyarham Mael akan dikebumikan sekitar pukul 10 hingga 10.30 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar,” kata Mohd Yazid kepada Astro Awani ketika dihubungi sebentar tadi.

Sejak berita pemergian Mael dilaporkan malam tadi, Mohd Yazid berkata, ramai kenalan Allahyarham termasuk rakan artis hadir memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi yang sangat sinonim dengan muzik heavy metal itu.

Allahyarham Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Muar, Johor kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Berita pemergian disahkan anak perempuan Allahyarham, Sharifah Irfatasha.

"Adalah dengan sedihnya dimaklumkan bapa saya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, menghembuskan nafas terakhir di pada hari Khamis. 27 April lebih kurang jam 9.30 malam di Hospital Muar," katanya menerusi satu kiriman teks di aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, Sharifah Irfatasha tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai punca kematian bapanya itu.

Pemergian Allahyarham Mael mengejutkan seluruh industri hiburan serta pemimpin negara yang turut mengutus salam takziah buat keluarga penyanyi tersohor itu.

Antara yang mengucapkan takziah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, sebagai antara nama besar dalam lapangan seni tanah air, khabar duka itu pasti akan meninggalkan dampak dalam industri muzik rock tempatan.

"Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," ciap beliau dalam Twitternya pada Khamis.

Turut berkongsi rasa duka dengan pemergian Mael ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam perkongsian di Facebooknya memberitahu, beliau adalah antara jutaan peminat Allahyarham.

"Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia sebentar tadi.

"Saya antara jutaan peminat beliau dan orang sekeliling saya tahu Semangat yang Hilang merupakan lagu kegemaran saya.

"Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman. Al-fatihah," ujar Fahmi.

Wartawan Astro Awani akan melaporkan perkembangan terkini pengebumian Allahyarham Mael dari semasa ke semasa. - Awani