Hasil jualan tiket PJ City-JDT disumbang kepada keluarga Rajes

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai kemalangan maut melibatkan pemain bola sepak PJ City FC, P Rajes pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai kemalangan maut melibatkan pemain bola sepak PJ City FC, P Rajes pada Ahad.
A
A
A

PETALING Jaya City (PJ City) akan menyumbangkan hasil daripada jualan tiket perlawanan timbal balik pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 Oktober, kepada keluarga pemainnya P Rajes, yang meninggal dunia akibat kemalangan pada Isnin lalu.

Presiden Kelab, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemilik PJ City, Datuk Seri Vijay Eswaran mahukan The Phoenix menyumbangkan hasil jualan tiket perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai penghargaan kepada khidmat pemain tersebut kepada kelab itu.

“Mendiang Rajes, berusia 37 tahun telah bersama pasukan sejak kami mula-mula beraksi di Liga Super pada 2019. Tentunya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada The Phoenix dan juga keluarga bola sepak Malaysia. Beliau seorang pemain dengan disiplin yang tinggi dan komited sama ada di dalam mahupun di luar padang.

“Kami berharap peminat bola sepak akan hadir beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan ini dan menyumbang. Kesemua terimaan daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada keluarga Rajes iaitu isteri dan tiga anaknya. Pemergian beliau satu kejutan untuk kami semua,” katanya dalam kenyataan.

Peminat bola sepak boleh membeli tiket perlawanan Piala Malaysia antara PJ City-JDT di Stadium MBPJ pada 26 Oktober menerusi www.ticketonline.com.

Tiket berharga RM30 untuk tempat duduk utama dan RM25 di tempat-tempat lain.

Isnin lalu, Rajes meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Batu Muda selepas hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok yang berada di bahu jalan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: