APM Kelantan tingkat latihan hadapi MTL

Anggota APM Kelantan menjalani latihan asas pertahanan awam seperti pengendalian bot dan pengurusan bencana sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. -Foto: FB APM Kelantan
Anggota APM Kelantan menjalani latihan asas pertahanan awam seperti pengendalian bot dan pengurusan bencana sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. -Foto: FB APM Kelantan
A
A
A
KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan telah menjalani beberapa latihan asas pertahanan awam seperti pengendalian bot, dan pengurusan bencana sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, latihan bertujuan bagi mempersiapkan anggota yang terlibat dalam operasi semasa musim tengkujuh.

"Sebagai persiapan menghadapi MTL, APM memperbanyakkan latihan penggunaan peralatan dan asas menyelamat bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam sesuatu situasi yang sukar dijangka.



"Latihan memberi pendedahan kepada anggota selain untuk pengendali bot serta memahami teknik yang sesuai dengan sesuatu lokaliti atau tempat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Adzhar berkata, latihan diadakan di semua APM daerah di Kelantan secara berkala.

Ditanya mengenai kekuatan anggota, aset dan logistik bagi menghadapi musim tengkujuh, Mohd Adzhar berkata APM Kelantan memiliki 1,353 anggota yang boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang musibah.
Artikel Berkaitan:


"Dari segi aset APM Kelantan memiliki sebanyak 14 kenderaan pacuan empat roda, lori (16), ambulans (13), bot dan enjin (84), treler (60), genset (30) dan khemah (2,610)," katanya.

Menurutnya kerjasama padu dengan agensi-agensi lain juga dipertingkatkan bagi memastikan penggunaan aset-aset dan pengoperasi pengurusan bencana yang lebih optimum. - Bernama