Bot hanyut, 13 jam berpaut pada unjam buluh di laut

Rohaimi (dua dari kiri) dan Nik Muhammad Syafiqrullah (kiri) disambut oleh ahli keluarga selepas selamat tiba di Jeti LKIM Kuala Kemasin Bachok pada Isnin.
Rohaimi (dua dari kiri) dan Nik Muhammad Syafiqrullah (kiri) disambut oleh ahli keluarga selepas selamat tiba di Jeti LKIM Kuala Kemasin Bachok pada Isnin.
A
A
A

BACHOK - Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang ketika memukat ikan di perairan Kemasin, di sini pada Ahad ditemui selamat selepas 13 jam mereka berpaut pada unjam buluh di laut dengan mengikat bot daripada terus hanyut dipukul angin kuat.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Rohaimi Ahmad, 47, berkata, unjam buluh milik nelayan Thailand itu menjadi 'penyelamat' kepada dia serta anak, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21, dan rakan, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29.

"Pada hari kejadian kami memukat ikan di lokasi biasa sebelum menyedari bot yang dinaiki kehabisan minyak sekitar jam 3 petang.

"Kami cuba melempar sauh ke dalam laut namun gagal sehingga bot dihanyutkan selepas dipukul angin kuat," katanya yang tiba dengan selamat bersama anak dan rakan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin di sini jam 11 pagi pada Selasa.

Dia yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai nelayan berkata, bot dinaiki telah dihanyutkan angin dari lokasi tempat mencari ikan sehingga terjumpa satu unjam buluh.

Ujar Rohaimi, mereka kemudian membuat keputusan untuk mengikat bot padanya.

Tambahnya, mereka bergantung pada unjam buluh itu bermula jam 8 malam hingga jam 9 pagi keesokan hari (Isnin) sebelum ada sebuah bot melalui kawasan itu dan membantu memberikan 10 liter minyak diesel.

"Sebaik bot kembali hidup, kami terus mencari daratan terdekat dan mendarat di Pantai Belawan, Tak Bai serta meminta bantuan dengan penduduk di sini untuk menghubungi penyelamat di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, penduduk di sana semuanya baik. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu membawa kami pulang dengan selamat," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tiga nelayan yang dikhuatiri hilang berjaya ditemui di Belawan, Tak Bai di Thailand pada jam 2.32 petang yang terletak 10 kilometer (km) dari perairan Malaysia.

Ketiga-tiga mangsa dikatakan berada dalam keadaan selamat dan dipercayai bot dinaiki mereka mengalami kehabisan minyak.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Bahari berkata, bot mereka dipercayai telah dihanyutkan ke perairan negara jiran.