Pemimpin politik sokong enam kriteria calon PRU15

Rasuah Busters dalam laporan Sinar Harian pada Rabu gesa hanya calon yang memenuhi enam kriteria penting dipilih pada PRU15. Gambar: Saifuddin Nasution (kiri), Muhamad Muqharabbin (tengah)
Rasuah Busters dalam laporan Sinar Harian pada Rabu gesa hanya calon yang memenuhi enam kriteria penting dipilih pada PRU15. Gambar: Saifuddin Nasution (kiri), Muhamad Muqharabbin (tengah)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik pelbagai parti menyokong gesaan Rasuah Busters supaya calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti memenuhi enam kriteria penting.

Enam kriteria berkenaan adalah bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pihaknya dan mana-mana parti juga setuju dengan saranan tersebut, seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti yang telah ditegaskan oleh Timbalan Presiden parti, Mohamad, akan membuat tapisan yang amat ketat untuk calon-calon BN bagi menghadapi PRU15 kali ini.

"Ini kerana rejuvenasi parti dalam menampilkan tokoh dan calon WALI (Winnable, Acceptable dan Likeable) telah terbukti berjaya mengembalikan keyakinan rakyat di negeri Melaka dan Johor," katanya kepada Sinar Harian.

Oleh yang demikian, tambah Muhamad Muqharabbin, BN akan meletakkan calon yang bersih, berintegriti dan bebas daripada pelbagai masalah.

"Justeru, saya yakin sekiranya ini dibawa oleh kepimpinan parti, BN bukan hanya berjaya memenangi hati rakyat, bahkan akan kembali menjadi kerajaan dominan selepas PRU15 nanti," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menekankan individu yang menjadi calon PRU15 perlu mempunyai kriteria tersebut supaya negara bebas rasuah, berdaya saing dan lebih maju ke hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Keenam-enam kriteria itu adalah merupakan sifat mahmudah, dan semua perlu terapkan kesemua kriteria berkenaan dalam diri masing-masing lebih-lebih lagi calon (PRU15).

"Di peringkat saya pula, secara peribadi, dua perkara yang saya lakukan sebagai calon iaitu pada tahun 2018, saya memulakan dengan tindakan pengisytiharan harta.

"Tak jadi keperluan pun calon buat sedemikian itu, namun saya buat kenyataan bersumpah dan pengisytiharan harta sebelum menjadi calon pada PRU14," jelasnya.

Katanya lagi, sewaktu memenangi pilihan raya dan menjadi anggota kabinet buat dua tahun berturut-turut, beliau tetap mengisytiharkan pemilikan harta bagi memastikan integriti dalam mengekang budaya rasuah.

"Saya faham dalam Islam bahawa tiada halangan seseorang menjadi kaya, namun ini juga menunjukkan bahawa saya bukan sahaja ketika diwawancara begini mengatakan saya sokong (bebas rasuah) sebaliknya saya dah (membuktikan) dengan melakukan pengisytiharan harta.

"Yang menjadi isunya di manakah kekayaan harta itu diperoleh. Jika diperoleh cara rasuah maka perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Justeru di peringkat pelaksanaan sementara kita ajak calon lain atau minta pemimpin berubah dekat mana kita patut mulakan," katanya.