JMKMSiswa dilancar untuk ringankan kos sara hidup siswa

Noh Omar - Foto Bernama
Noh Omar - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kerajaan menyediakan peruntukan RM1.2 juta untuk diagihkan kepada 20 universiti awam bagi melaksanakan program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) yang menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk pembelian barangan keperluan siswa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, 13 premis koperasi dan tujuh unit keusahawanan di bawah 20 universiti awam dipilih menjadi pelaksana JMKMSiswa, dengan setiap universiti menerima RM60,000 bagi menyediakan insentif diskaun barangan keperluan itu.

"Penjual memberikan harga diskaun untuk barangan keperluan pelajar seperti makanan kering, buku, alat tulis, tambah nilai kad prabayar telekomunikasi dan barangan kegunaan harian lain,” katanya ketika merasmikan program JMKMSiswa itu di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini pada Rabu.

JMKMSiswa berkenaan berlangsung hari ini hingga 18 Disember bagi meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.

Noh berkata, inisiatif JMKMSiswa dilaksanakan susulan sambutan baik program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang dilaksanakan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Dalam pada itu, terdapat 113 koperasi yang pada masa ini beroperasi secara aktif di universiti awam seluruh negara dengan jumlah aset bernilai RM549 juta dan perolehan tahunan mencecah RM160 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: