Setuju bubar Parlimen, Asyraf Wajdi 'pulangkan' kenyataan Anwar

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan persetujuan supaya Parlimen dibubarkan dan mandat pemerintahan dikembalikan kepada rakyat seperti pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asyraf Wajdi berkata, beliau bersetuju dengan pendirian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membubarkan Parlimen sekiranya kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi dapat dipertahankan.

"Setuju dengan PMX, lebih baik bubar dan serah kembali mandat pada rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Hantaran tersebut merujuk kenyataan Anwar ketika Konvensyen PH 2026 pada Mei lalu yang memberi bayangan kesediaan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya ada pihak tidak lagi mahu meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau tidak gentar dengan sebarang ugutan dan bersedia memulangkan mandat kepada rakyat sekiranya kerjasama politik yang dibentuk tidak lagi dapat dipertahankan.

"Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way.

"Jadi kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor, tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi," katanya ketika menyampaikan amanat Pengerusi PH semasa konvensyen berkenaan di Johor, 17 Mei lalu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyuarakan pandangan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan rakyat menentukan mandat baharu.

Pada 10 November lalu, Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, langkah berkenaan lebih wajar berbanding melakukan rombakan Kabinet ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!