Malaysia tangga ke-27 kedudukan digital, AI dunia

Gobind menyifatkan pencapaian itu sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan negara dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI.
Gobind menyifatkan pencapaian itu sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan negara dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 dalam Kedudukan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) Dunia IMD 2026 berbanding tangga ke-34 sebelum ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu merupakan pengiktirafan terhadap kemajuan negara dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI.

"Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif Kerajaan, pihak industri, ahli akademik dan seluruh rakyat Malaysia dalam membudayakan teknologi digital serta memperkukuh keupayaan negara.

"Ia turut membuktikan kesediaan negara yang semakin meningkat untuk bersaing dalam ekonomi digital dan AI global, seiring dengan usaha mengejar aspirasi menjadi sebuah negara AI yang inklusif serta mampan menjelang tahun 2030.

"Penarafan baharu ini juga memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju strategik yang telah digariskan di bawah Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030," katanya menerusi kenytaan pada Jumaat.

Dalam pada itu Gobind menjelaskan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan bagi memastikan kemajuan sektor digital dan AI diterjemahkan kepada peluang ekonomi lebih luas, peningkatan daya saing perusahaan tempatan serta manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, keutamaan tersebut termasuk memaksimumkan nilai ekonomi daripada pelaburan infrastruktur digital dan AI negara dengan membangunkan industri, teknologi serta perniagaan berasaskan pelaburan berkenaan.

"Selain itu ia akan membabitkan usaha mempercepat penerimagunaan teknologi digital dan AI merentasi semua sektor ekonomi, khususnya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta meneroka peluang pertumbuhan baharu.

"Memperkukuh keupayaan bakat dan inovasi Malaysia menerusi mempergiat usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi melengkapkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai industri dan perniagaan tanpa mengira saiz dengan keupayaan digital dan AI," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkukuh kepercayaan digital, tadbir urus dan penyelarasan kawal selia bagi mewujudkan persekitaran ekonomi digital yang dipercayai serta mesra inovasi.

Menurutnya, Kementerian Digital sedang giat memajukan penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI bagi memberikan kejelasan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam pembangunan serta pelaksanaan AI.

"Penarafan terbaharu IMD ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan digital negara. Namun, kita sedar bahawa usaha dan kerjasama yang berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum sedia ada," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!