[VIDEO] BN sasar 11 kerusi boleh menang di Kedah

Ahmad Zahid ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.
Ahmad Zahid ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.
A
A
A

BANDAR BAHARU - BN menyasarkan sekurang-kurangnya 11 kerusi Parlimen mampu dimenangi di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu diyakini mampu dicapai selepas melihat kepada sokongan pengundi dan rakyat Kedah yang mahukan perubahan.

"Saya berpegang bahawa Kedah adalah 'swing state', begitu juga Terengganu. Saya sebutkan tadi dalam ucapan, kita telah kenal pasti sekurang-kurangnya 11 kawasan Parlimen di Kedah.

"Kita akan fokus dan mengadakan 'special taskforce' untuk 10 kawasan Parlimen, walaupun tahu kita hanya memenangi dua kawasan Parlimen pada PRU14 iaitu di Baling dan Padang Terap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apabila ditanya berhubung kerusi Parlimen yang difokuskan BN kali ini, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Beliau dalam masa sama turut yakin boleh menang di kerusi penyandang yang merupakan nama besar seperti di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Semua kerusi kita tak kira nama besar atau nama kecil, yang penting bukan nama dan personaliti itu, tetapi rakyat telah tertekan, nama besar tapi apa yang dijanjikan contohnya untuk tarik lesen grab dan teksi tidak dilaksanakan.

"Ini menjadi modal kepada pengundi tempat itu dan banyak isu tempatan yang mana pengundi telah menyatakan kekesalan mereka apabila termakan janji palsu dan fitnah yang telah dihamburkan kepada mereka dalam PRU14," katanya.

Bagi merealisasikan hasrat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen, Ahmad Zahid berkata, BN tidak hanya bergantung semata-mata kepada pengundi daripada parti komponen BN sahaja, malah akan turut memfokuskan kepada pengundi muda dan mereka yang pertama kali keluar undi.

"Kalau kita hanya bergantung kepada pengundi yang terdiri daripada parti atau komponen BN sahaja, maka kita tidak akan menang dengan cukup dominan, tapi saya yakin jika pendekatannya juga memfokuskan kepada pengundi pertama kali iaitu antara 18 hingga 21 tahun dan mereka yang berada di atas pagar.

"Apa yang kita lihat PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, pengundi muda dan pengundi pertama kali mengundi ini memberi 70 peratus undi kepada BN," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, BN akan membarisi sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu calon PRU15 di seluruh negara kali ini.