PRN: Rundingan kerusi PH, BN di Kedah hampir selesai

Mahdzir (tiga kanan) bersama Mahfuz (tiga kiri) semasa ditemui di Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
Mahdzir (tiga kanan) bersama Mahfuz (tiga kiri) semasa ditemui di Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah menjelaskan rundingan pengagihan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini hampir selesai.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengagihan kerusi dilakukan berdasarkan formula yang dipersetujui bersama semua parti yang terlibat di negeri ini.

"Alhamdulillah kita berada di atas landasan yang baik mengadakan rundingan dan sebenarnya masuk pusingan ketiga (perbincangan) dan pada saya positif. Ada sedikit sebanyak kekangan tetapi boleh diselesaikan memang ada sedikit masalah seperti di mana kerusi (parti mana bertanding).

"Tetapi pada saya lah setakat ini menunjukkan urusan yang positif di semua parti-parti yang terlibat untuk berunding kerusi di Kedah.

"Kita ada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah ini. Insya-Allah kita boleh, kita boleh selesaikan dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas hadir Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi bersama Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kedah dan dan pimpinan komponen Barisan Nasional (BN) Kedah.

Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata, keputusan di peringkat negeri Kedah kemudiannya akan dibawa ke peringkat sekretariat nasional untuk dimuktamadkan.

"Di sekretariat itu pula akhirnya dibawa kepada Pengerusi dan juga Timbalan Pengerusi gabungan perpaduan di antara BN dan PH.

"Saya ingat untuk nama calon, untuk proses berkaitan dengan calon, saya ingat itu kita serah kepada kepimpinan (keputusan penuh)," ujar Mahdzir.

Ketika ini, Kerajaan Perikatan Nasional Kedah mempunyai 21 kerusi DUN melibatkan 15 daripada Pas dan enam lagi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PH pula mempunyai 11 kerusi membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi DUN, Parti Amanah Negara (tiga kerusi DUN), DAP (dua kerusi DUN) manakala BN (dua kerusi DUN).

Parti Pejuang Tanah Air pula mempunyai dua kerusi DUN manakala kerusi DUN Gurun kosong selepas penyandangnya, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusi berkenaan pada 17 Disember tahun lalu dan kini dilantik Speaker Dewan Rakyat.