Pilih pemimpin jujur,amanah dan berintegriti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan orang ramai supaya memilih calon yang mempunyai sifat jujur dan amanah, berintegriti serta prihatin kepada kepentingan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, bagi masyarakat Islam mereka mestilah faham bahawa mengundi di dalam pilihan raya merupakan satu fardu kifayah dan termasuk salah satu cara atau kaedah untuk mencapai kemaslahatan rakyat jelata.

"Penyertaan di dalam pilihan raya dengan niat untuk memilih bakal wakil rakyat yang baik boleh dianggap amalan saling bekerjasama pada jalan kebajikan dan takwa yang amat digalakkan oleh agama Islam.

"Walaupun mengundi di dalam pilihan raya adalah termasuk sebahagian daripada bab muamalat yang terbina di atas kepentingan umum, namun umat Islam dilarang memilih seorang calon yang diketahui tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah terhadap agama, negara serta rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Salim berkata, umat Islam dilarang memilih seorang yang menyeru kepada kesesatan atau maksiat kerana dibimbangi individu seperti ini akan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan kedudukannya nanti untuk merosakkan agama, masyarakat serta negara.

Jelasnya, ungkapan Nabi Yusuf sebagaimana yang tersebut di dalam al-Quran bahawa calon yang layak dipilih mewakili rakyat mestilah memiliki dua kualiti peribadi iaitu dapat memelihara amanah yang diharapkan oleh para pengundi dan mempunyai kebolehan atau kecekapan mengurus serta mengendalikan pekerjaannya dengan baik..

"Umat Islam diharuskan memilih calon daripada kalangan bukan Islam sekiranya terbukti atau diyakini boleh memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada rakyat dan negara termasuk kemajuan agama Islam.

"Ini adalah menurut pandangan beberapa ulama muktabar seperti Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Khatib Syarbini di dalam kitab-kitab karangan mereka," ujarnya.

Artikel Berkaitan: