Kru bot warga Indonesia dikhuatiri lemas terjatuh laut

Operasi Carilamat menggunakan bot Penggalang 1 itu merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sekinchan.
Operasi Carilamat menggunakan bot Penggalang 1 itu merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sekinchan.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang kru bot nelayan warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Perairan Sekinchan pada Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Efendy, 40, yang dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan terjatuh pada kira-kira jam 7.30 malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, V Siva Kumar berkata, sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa sedang giat dijalankan.

"Operasi Carilamat dikoordinasikan Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua pada hari ini jam 7 pagi dengan mengatur gerak bot Penggalang 1 dengan bantuan nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Siva Kumar memberitahu, operasi Carilamat itu merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sekinchan.

Menurut Siva Kumar, mangsa sebelum ini berambut panjang dilihat kali terakhir memakai baju berwarna kuning dengan seluar berwarna kelabu sebelum dilaporkan hilang di laut.

Jelas beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Bagan Sekinchan.

Pada Selasa, operasi Carilamat dengan mengatur gerak bot Penggalang 1 itu telah diaktifkan pada pada jam 11.05 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, orang awam diingatkan sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.