Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas

Ops Carilamat digerakkan bagi mencari nelayan yang hilang di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, di Kuala Kedah pada Khamis.
Ops Carilamat digerakkan bagi mencari nelayan yang hilang di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, di Kuala Kedah pada Khamis.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas ketika sedang melakukan aktiviti memukat bilis di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, di sini pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa dikenali sebagai Donbagee Tingsa, 33, dipercayai hilang pada jam 2.25 petang.

Noor Azreyanti berkata, tekong menyedari awak-awak itu tiada ketika bot nelayan berpangkalan di Tanjung Dawai itu sedang memukat ikan bilis.

"Susulan itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 2.35 petang Khamis dengan bot PERKASA 1226 diatur gerak sejurus menerima maklumat daripada pengadu, Yong Thiew Yiew berhubung kejadian itu.

"Ops Carilamat mencari awak-awak bot nelayan tempatan itu kemudiannya diteruskan pada pagi Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, usaha mengesan mangsa turut disertai agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan meliputi keluasan kira-kira 9.38 batu nautika persegi.

Menurutnya, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Orang awam diminta untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.