'Cukup-cukuplah sekali imej kita calar di mata dunia'

Laporan Sukan Sinar 15 Jun lalu. Gambar kecil: Richard Scully
Laporan Sukan Sinar 15 Jun lalu. Gambar kecil: Richard Scully
A
A
A

“JANGAN biarkan insiden petugas stadium menggunakan penyodok sampah dan kadbod untuk mengeluarkan air bertakung ketika kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu berulang lagi pada perlawanan final Piala AFC.”

Itu harapan pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully menjelang aksi final Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC menentang kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Malah, tegas Richard, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran pihak pengurusan stadium kerana ia menjejaskan imej dan peluang negara menganjurkan kejohanan antarabangsa lain pada masa depan.

“Dengan cuaca hujan yang tidak menentu ini, saya berharap pihak pengurusan stadium sudah menyediakan kelengkapan cukup bagi memastikan permukaan padang dalam keadaan baik.

“Walaupun nampak perbuatan tersebut adalah niat baik untuk membuang air bertakung tetapi tindakan itu juga sudah tentu membuka jalan kepada pihak di luar sana mengkritik kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dikritik hebat apabila permukaan padang disifatkan tidak ubah seperti bendang selepas persekitaran Bukit Jalil dilanda hujan lebat.

Lebih malang apabila petugas stadium dirakam menggunakan penyodok sampah dan kadbod untuk mengeluarkan air bertakung.

“Cukup-cukuplah sekali sahaja imej kita dicalarkan di mata dunia sebab insiden tersebut sebelum ini. Perkara ini perlu diambil serius.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berharap pihak pengurusan stadium akan bersiap sedia dengan pelan lain kerana dengan situasi monsun yang melanda ketika ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi,” ujar Richard.