Malaysia bebas rasuah jika pilih pemimpin bersih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Matlamat menjadikan Malaysia bebas rasuah mungkin akan tercapai dalam tempoh lima sehingga 10 tahun akan datang, sekiranya rakyat memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila semua parti bercakap tentang antirasuah adalah satu permulaan yang baik.

“Kita sudah mengarusperdanakan kebencian kepada rasuah secara terbuka, bagi saya itu sesuatu yang baik. Lepas itu kita sudah bergerak ke bawah dan rakan gabungan seramai 600 sudah bergerak ke sekolah, masuk universiti dan jabatan-jabatan kerajaan.

“Kalau PRU15 ini kita berjaya menghantar 222 ahli Parlimen yang jujur, benci rasuah, betul-betul ikhlas saya rasa dalam masa lima tahun kita dapat bersihkan (rasuah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bersama Bernama Radio dalam program Impian Mr Rasuah Busters pada Selasa.

Tambahnya, pemilihan 222 ahli Parlimen yang bersih mampu memastikan negara dipacu dengan baik.

“Justeru diharap pada PRU15 nanti semua rakyat Malaysia yang layak mengundi menghantar mesej jelas kepada semua parti-parti dan calon-calon bertanding,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, proses perundangan negara telah membuktikan sistem kehakiman sedia ada adalah telus dan tidak memilih bulu.

Artikel Berkaitan:

“Sabitan kesalahan rasuah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah melalui proses pembicaraan di tiga peringkat mahkamah dengan tempoh masa lama adalah bukti ketelusan sistem kehakiman negara.

“Meskipun kes berprofil tinggi tersebut memberi kesan negatif kepada negara, namun mesej yang mampu disampaikan adalah jelas iaitu tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada dikenakan hukuman setimpal di atas kesalahan dilakukan,” katanya