LQID sasar pasaran Eropah untuk tempoh 10 tahun akan datang

A
A
A

Mohd Farmiezudin (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.
Mohd Farmiezudin (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.

SHAH ALAM - LQID Asia Pacific Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan kewangan di negara ini merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dalam 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohd Farmiezudin Nazarudin berkata, pihaknya mahu memperluaskan perniagaan ke beberapa buah negara Eropah selain pasaran sedia ada iaitu di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

"Kami hendak mencari peluang di luar dan berbakti untuk negara kita," katanya kepada Sinar Harian.

LQID mula ditubuhkan pada tahun 2021 dan selain Malaysia, Mohd Farmiezudin turut memaklumkan beliau telah menubuhkan sebuah lagi syarikat dikenali sebagai Banco LQID di AS.

Jelasnya, penubuhan syarikat LQID Asia Pacific dua tahun lalu bertujuan untuk mengubah sistem pemain industri sedia ada di negara ini.

"Pemain-pemain sedia ada adalah pemain yang sama. Jadi kami cuba untuk mengubah sistem berkenaan. Saya yakin dengan kumpulan yang kami ada, sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada negara.

MOHD FARMIEZUDIN
MOHD FARMIEZUDIN

"Sebab itulah, saya rasa sudah sampai masa untuk saya dan syarikat ini tampil dan ketengahkan apa yang kami boleh tonjolkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Farmiezudin menjelaskan, beliau membawa jenama LQID yang berasal dari UK untuk di implementasi di negara ini berdasarkan rasa tanggungjawab.

"Jika hendak dibandingkan, sudah tentu sistem perbankan di negara kita amat jauh beza dengan UK. Mereka jauh lebih maju.

"Jadi, saya rasa perlu mengambil tanggungjawab ini agar negara kita tidak ketinggalan lebih jauh. Saya cuba bawa jenama LQID ini untuk diimplementasikan di sini," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, perjalanan itu masih jauh lagi dan LQID di negara ini lebih menumpukan kepada menyediakan perkhidmatan kewangan berbanding di UK yang melibatkan perbankan digital.

Bermula ketika pandemik

Menyentuh perniagaan yang bermula pada tahun 2021 iaitu sewaktu Covid-19, beliau menyifatkannya ia sebagai peluang dan titik permulaan baginya.

"Bagi saya, Covid-19 ibarat satu 'shut down' yang mana permulaan baru bagi kami ketika itu untuk berdaya saing dengan syarikat-syarikat lebih besar.

"Jadi, jika ditanya kenapa saya tubuhkan atau bawa LQID ini ke dalam Malaysia semasa Covid-19, saya rasa itu adalah titik permulaan yang sangat baik," tegasnya.

Beliau juga tidak menafikan wujudnya liku-liku perjalanan semasa Covid-19 yang menyukarkan pihaknya.

Mohd Farmiezudin bersama kakitangan LQID Asia Pacific Sdn Bhd.
Mohd Farmiezudin bersama kakitangan LQID Asia Pacific Sdn Bhd.

Bagaimanapun, beliau berjaya mengatasi situasi kerana kelebihan syarikat yang berurusan secara langsung dengan organisasi korporat, bukan secara individu.

"Sebagai contoh, kami memberi khidmat nasihat dari segi projek yang melibatkan konteks pengurusan kewangan, bukan dari segi teknikal," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini perniagaannya, Mohd Farmiezudin berkata, pihaknya kini menyediakan perkhidmatan kepada sebuah syarikat dari segi perkhidmatan kewangan.

PROFIL

Nama: Datuk Seri Mohd Farmiezudin Nazarudin

Umur: 35 tahun

Syarikat: LQID Asia Pacific Sdn Bhd

Latar belakang syarikat

- Ditubuhkan 2021

- Terletak di KL Eco City, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur

- Menawarkan perkhidmatan kewangan

Hubungi kami: www.bancolqid.com